Tazkirah

Agama Menjadi Umpan Terbaik Menjerat Mangsa

“Malang nasib saya, ditipu sang ustaz. Sangka saya dia benar ustaz pembimbing manusia ke jalan Tuhan, rupanya dia adalah syaitan berbaju ustaz. Bukan setakat wang dan harta saya dikikis, ‘raga’ saya pun hampir diragutnya.”

Agama adalah ‘manual’ pembimbing manusia. Manusia tidak mampu hidup sebagai manusia yang hakiki tanpa bimbingan agama.

Manusia yang tidak beragama seumpama layang-layang tidak bertali, walau bebas terbang di udara tanpa batas namun kesudahannya merana jatuh terhempas tidak berkubur.

Pun begitu, agama juga boleh menjadi racun berbisa jika tiada keikhlasan di hati.

Ramai juga anak gadis dan wanita naif terjerat dengan ‘tazkirah ala malaikat’ pemangsa yang memulakan langkah mengumpan dengan perwatakan ‘super’ alim.

Siapa yang tidak mahu bakal suami atau pasangan hidup yang warak, alim dan mampu menjadi nakhoda ke syurga?

Malangnya pemangsa hanya menggunakan agama sebagai umpan kerana ia sangat senang disambar oleh sesiapa sahaja.

Selain itu, ramai yang sanggup membunuh manusia tidak bersalah atas nama agama dan jihad walaupun ia sebenarnya hanya ‘jahat.’

Agama juga menjadi lubuk rezeki oleh sesetengah pihak. Upacara agama atau doa boleh sahaja ‘diswastakan’ kepada pihak yang fasih menggantikan yang tidak fasih. Asal bayarannya cukup semua boleh jadi.

Ketika manusia moden semakin kehausan rohaninya, muncul ‘kapitalis agama’ yang giat melahirkan berbagai produk ajaib berasaskan agama.

Produk agama itu menjanjikan ‘bulan, bintang dan syurga aras ketujuh’ kepada para pengguna. Telan sahaja produk mereka dengan iringan bismillah dan selawat, segala masalah fizikal dan rohani akan hilang sama sekali.

Nampaknya lafaz bismillah dan selawat yang disarankan sang kapitalis agama sebelum menelan produk mereka tidak jauh bezanya serapah syirik bomoh yang menutup lafaz serapah mereka dengan lafaz samara;

BACA:  Doa Bertemu Jodoh Untuk Wanita

“Dengan berkat Laa Ilaha Illah.”

Pencipta produk ini mendakwa manusia yang hatinya keras membatu akan mudah menerima nasihat kerana berkat produk yang sudah di’Tahfiz’kan oleh bacaan kaset atau Cakera Padat.

Elok benar agar produk ajaib ini dihantar kepada pembunuh rakyat Syiria, mudah-mudahan hati mereka menjadi baik setelah menelannya, lalu kuranglah berlaku pembunuhan rakyat yang tak berdosa.

Fenomena ini bukan baru rupanya, tetapi ulangan sejarah manusia semenjak ribuan tahun. Al-Quran menyebut para pendeta Yahudi dan Nasrani pernah menjadi pedagang agama yang sangat tidak bermoral;

Wahai orang-orang yang beriman! Sesungguhnya banyak di antara pendita-pendita dan ahli-ahli ugama (Yahudi dan Nasrani) memakan harta orang ramai dengan cara yang salah, dan mereka menghalangi (manusia) dari jalan Allah (ugama Islam). Dan (ingatlah) orang-orang yang menyimpan emas dan perak serta tidak membelanjakannya pada jalan Allah, maka khabarkanlah kepada mereka dengan (balasan) azab seksa yang tidak terperi sakitnya.
Surah al-Taubah 9:34

Akhir kata, marilah kita berdoa seikhlas hati agar tidak menjadi kapitalis agama yang memperdagangkan agama secara hina.

Jadikan agama sebagai bahtera penyelamat yang membebaskan manusia dari lemas dalam syirik, khurafat dan kezaliman.

 

Sumber: Tazkirah.net 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

error: Content is protected !!