General

8 Tip Penting Untuk Membeli Al Quran Di Pasaran

Antara amalan kebaikan yang amat digalakkan semasa bulan Ramadan ialah mempelajari dan mengajarkan al-Quran. Daripada Ibn Abbas R.A berkata:

“Bahawa Rasulullah S.A.W merupakan orang yang paling pemurah melakukan pelbagai kebaikan. Kemurahan Baginda S.A.W akan bertambah menjelangnya bulan Ramadan ketika malaikat Jibril AS menemui Baginda S.A.W. Jibril AS akan datang menemui Baginda S.A.W pada setiap malam pada bulan Ramadan, lalu Jibril AS mengajarkan al-Qur’an kepada Baginda S.A.W. Sesungguhnya Baginda S.A.W bersifat pemurah dengan bersegera melakukan kebaikan umpama angin yang bertiup kencang.”

Muttafaqun ‘Alaih, riwayat al-Bukhari, no. 6, 1906, 3220, 3554, 4997, Muslim, no: 2308

Amalan tadarus al-Quran setiap hari, menghayati makna dan merenungi isi al-Quran mampu meningkatkan keimanan dan keyakinan dalam hati.

Besarnya kemuliaan Ramadan, Allah S.W.T menurunkan al-Quran dalam bulan tersebut. Bersempena dengan kedatangan Ramadan al-Mubarak, disertakan di sini panduan bagaimana untuk mendapatkan naskhah al-Quran yang bersesuaian di pasaran.

#1- Mempunyai Cop Kementerian Dalam Negeri (KDN)

Cop ini memperakukan ayat-ayat yang terkandung di dalam naskhah tersebut adalah betul.

#2- Mempunyai Pelekat Hologram KDN

Pelekat ini mempunyai :

i. Jata Negara
ii. Logo KDN
iii. Tulisan perkataan ‘Malaysia’ memenuhi stiker
iv. Tulisan perkataan ‘Sahih’ dalam ejaan jawi
vi. Nombor siri
vii. Ada perkataan TULEN

#3- Tulisan Bertepatan Dengan Kaedah Rasm Uthmani

Lihat ejaan الرحيم dalam Basmalah atau ayat ke-3 surah al-Fatihah, jika tidak ada tanda sukun (tanda mati) di atas huruf Ya, maka ia adalah kaedah Rasm Uthmani.

#4- Disenaraikan Khas

Al-Quran yang diluluskan adalah tertera di dalam senarai Lajnah Tashih al-Quran Kementerian Dalam Negeri.

BACA:  Tidak Perlu Susah-susah Guna Racun, Ini 5 Petua Berkesan Hapus Anai-anai Di Rumah

#5- Kulit Luar Al-Quran

Sampul luar yang keras biasanya menjadi pilihan pembeli. Kulit luar yang keras akan melindungi bahagian dalaman yang lebih lembut teksturnya. Ini meningkatkan lagi jangka hayat al-Quran yang dibeli.

Pilihan warna sampul juga amat penting. Pilihlah sampul luar yang mempunyai warna kegemaran anda supaya anda akan sentiasa tertarik untuk membacanya.

#6- Jenis Kertas

Jenis kertas sangat mempengaruhi keselesaan membaca. Kertas yang disyorkan ialah daripada jenis ‘premium’ kerana sifatnya yang menyerap dan memantul cahaya secara seimbang.

Oleh hal yang demikian, ia tidak terlalu gelap dan tidak terlalu silau untuk mata. Mata akan berasa nyaman dan tidak cepat penat ketika membaca.

#7- Saiz Al-Quran

Pilih saiz yang bersesuaian untuk anda dengan mengambil kira fungsi utama sesebuah al-Quran yang mahu dimiliki. Sekiranya untuk dibawa ketika mengembara, saiznya perlu kecil dan padat, sesuai untuk diletakkan ke dalam tas tangan atau beg sandang.

Saiz al-Quran yang besar memiliki fon yang besar, amat sesuai untuk pembaca yang mengalami masalah penglihatan.

#8- Al-Quran Terjemahan

Di Malaysia umumnya, al-Quran terjemahan boleh didapati di dalam dua bahasa iaitu bahasa Melayu dan Inggeris. Pilihlah mengikut kecenderungan dan kefasihan.

Mulakan dengan membaca beberapa helaian awal al-Quran terjemahan tersebut untuk melihat gaya terjemahan yang bersesuaian dengan kecenderungan bahasa anda.

Al-Quran merupakan kalam Allah dan mukjizat paling agung yang dikurniakan kepada Nabi Muhammad S.A.W. Setiap orang Islam dituntut untuk membaca al-Quran setiap hari, lebih-lebih lagi pada bulan Ramadan.

Jadikan pengalaman setiap kali membaca al-Quran satu ibadah yang memberikan kepuasan dengan memahami dan menghayati maknanya.

Untuk itu, amat penting untuk memiliki al-Quran yang serasi dengan anda, yang membuatkan anda sentiasa mahu berdampingan dengannya setiap hari. Dengannya, kita merenung kelemahan dan mencari kekuatan diri. Ibarat sahabat akrab, tanpanya dunia anda tidak lengkap.

BACA:  Ber ‘Facebook’ Di Tempat Kerja, Boleh Ke?

Firman Allah S.W.T;

شَهْرُ رَمَضَانَ الَّذِي أُنْزِلَ فِيهِ الْقُرْآنُ هُدًى لِلنَّاسِ وَبَيِّنَاتٍ مِنَ الْهُدَىٰ وَالْفُرْقَانِ ۚ

“Bulan Ramadan, bulan yang di dalamnya diturunkan al-Quran sebagai petunjuk bagi manusia dan penjelasan-penjelasan mengenai petunjuk itu dan menjadi pembeza (di antara yang hak dengan yang batil).”

Surah al-Baqarah 2:185

 

Sumber: tzkrh.com 

Berminat menulis berkaitan Islam? Hantarkan artikel anda di sini: www.islamituindah.my/hantar-artikel

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *