Motivasi

8 Sifat Negatif Wajib Dibuang Untuk Berjaya

Kadang-kadang di saat kita melihat kejayaan orang lain, pasti bermain difikiran kita;

Kenapa aku tidak sehebat mereka? Mereka mampu mendapatkan segala yang dimahu. Manakala aku hanya mampu melihat dan memasang angan yang tidak sudah.”

Perasaan ini terkadang menganggu diri. Dan kadang membuatkan hati lemah dan tidak dapat membendung kekecewaan. Ada masanya diri terasa seperti tiada apa yang berguna. Dan lebih menakutkan sampai ada yang menyalahkan takdir Allah S.W.T. Nauzubillah minzalik.

Setiap manusia, Allah S.W.T sudah mengatur rezeki masing-masing. Apa yang penting adakah kita sudah berusaha untuk memperbaiki diri? Sudahkah kita menjauhi sifat-sifat yang merencatkan kejayaan?

Mari kita ketahui apa sifat-sifat yang perlu dijauhi untuk mencapai kejayaan. Mungkin masih ada pada diri yang menyebabkan hidup kita tidak seperti mereka.

#1- Cepat Berputus Asa

Orang yang berjaya tidak ada istilah putus asa dalam hidupnya. Jika gagal, mereka bangkit dan berusaha lagi.

Kebanyakan orang berputus asa sedangkan mereka hampir berjaya. Mereka berhenti padahal kejayaan sejengkal lagi. Mereka menyerah kalah pada saat terakhir permainan sedangkan kemenangan sudah dalam genggaman.”
H. Ross Perot (Jutawan Amerika)

#2- Hidup Tidak Bertujuan

Apa tujuan hidup kita? Hidup perlukan tujuan agar langkah hidup kita lebih terarah dan tidak tersasar.

“Jika tujuan anda jelas, anda boleh mencapainya dengan mudah.”
Lao Tze (Ahli Falsafah China)

#3- Tidak Berusaha

Usaha tanda kejayaan. Jangan sekadar mahukan sesuatu yang diharapkan tetapi usahanya tidak kunjung tiba. Berusahalah!

Kita tidak dapat menyeberangi lautan dengan hanya memandang ke laut.”
Rabindranath Tagore(Penerima Hadiah Nobel Sastera tahun 1913)

#4- Malas Menguasai Diri

BACA:  Percubaan Berpuasa Semasa tinggal di Malaysia Membuka Hati Gadis German untuk Memeluk Islam

Sikap malas membawa kehancuran pada hidup. Hidup bukan untuk bermalas-malasan tetapi hidup perlu melalui pengorbanan.

#5- Tidak Mencontohi Sikap Orang Yang Berjaya

Tidak salah meniru dalam perkara kebaikan iaitu tiru peribadi orang berjaya. Apa orang berjaya lakukan dan apa yang tidak dilakukan.

#6- Suka Bertangguh

Jangan bertangguh lagi. Esok belum tentu kita masih ada. Mulakan hari ini dan jangan tunggu lagi.

Perjalanan seribu batu bermula dari satu langkah.”
Lao Tze(Ahli Falsafah China)

#7- Takut Akan Kegagalan

Sekali gagal tidak bermakna gagal untuk selamanya. Orang yang takut gagal tidak akan merasa kejayaan.

Kegagalan adalah asas kemenangan.”
Lao Tze (Ahli Falsafah China)

#8- Banyak Memberi Alasan

Alasan tidak akan membawa ke mana-mana. Jangan memberi alasan tetapi teruskan tindakan. Masa tidak menunggu alasan kita. Ia terus berlalu pergi.

Aku Perlu Berubah!

Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri.”
Surah Ar-Ra’d: 11

Ubahlah pemikiran kita yang sering mengeluh dan merasa merendah diri. Terasa tidak layak menjadi sehebat mereka. Kita hanya melihat kejayaan mereka dan kita tidak nampak bagaimana susahnya mereka untuk mencapai kejayaan tersebut.

Minda kita haruslah dibersihkan dari sikap negatif yang melemahkan diri. Dan hanya memandang sahaja mereka berjaya tetapi contohilah juga usaha dan pengorbanan mereka.

Masihkah Ada Waktu?

Jangan risau peluang untuk berubah masih ada. Yang penting ada usaha dan doa. Kegigihan dan kesabaran haruslah juga turut serta. Kita tidak akan berjaya hanya sekadar berkata-kata. Kata-kata itu hanya dilidah. Mari buktikan dengan usaha gigih juga. Jika tersungkur, bangkit semula.

BACA:  7 ‘Tidak’ Dalam Hidup Orang Berjaya

Tiada manusia yang berjaya dalam semua yang dilakukannya dan kewujudan kita ini sebenarnya mesti menempuh kegagalan. Yang penting ialah kita tidak menjadi lemah semasa kegagalan itu terjadi dan kekalkan usaha hingga akhir hayat.”
Joseph Conrad(Penulis)

Mulakan selangkah demi selangkah. Biarpun lambat, kita teruskan juga. Insyaallah, Allah akan membantu kita. Walau tidak sehebat mereka, kita sudah menunjukkan perubahan daripada sebelumnya.

Kejayaan adalah jumlah usaha yang kecil, dilakukan berulang kali dan setiap hari.”
Robert Collier (Pengarang Bestseller)

Bersangka Baik Dengan Allah

Yang paling asas adalah bersangka baik kepada Allah S.W.T. Kita sudah berusaha. Kita sudah lakukan segalanya. Tetapi masih belum nampak hasilnya. Bersabar.

Tersungkur tujuh kali, bangkit semula lapan kali.”
Pepatah Jepun

Mungkin usaha kita masih belum lagi cukup. Teruskan usaha dan meminta pertolongan kepadaNya. Hanya Dia yang mengizinkan kejayaan kita. Allah tidak zalim kepada hambaNya. Dalam usaha untuk berjaya, ada kebaikan yang sedang Allah kurniakan kepada kita. Ada ganjaran pahala atas kesabaran kita.

Kesimpulannya, kejayaan itu datang daripada Allah S.W.T kepada hambaNya yang berusaha bersungguh-sungguh. Kejayaan tidak menunggu kita tetapi kita haruslah bertindak untuk mendapatkannya. Allah tidak akan mensia-siakan usaha kita.

Jangan hanya sekadar melihat kejayaan manusia yang berjaya. Jadilah juga seperti mereka. Insyaallah, kejayaan akan menjadi milik kita.

 

Sumber: Tazkirah.net 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

error: Content is protected !!