Ibadah, Kesihatan

7 Tips Agar Sunat Cepat Sembuh Untuk Kanak-kanak Lelaki – Perkongsian Doktor

Musim cuti sekolah sememangnya jadi pilihan ibu ayah menghantar anak mereka ke klinik atau program bersunat. Jika anda salah seorang daripada ibu bapa berkenaan dan ingin mengetahui tips sunat cepat sembuh untuk kanak-kanak lelaki, jom ikuti perkongsian seorang doktor ini, Khairul Faizie Mohammad Kamar.

Di dalam posting FB, Dr. Khairul ada memberikan beberapa tips sunat cepat sembuh yang ibu ayah boleh amalkan di rumah.

7 tips sunat cepat sembuh saranan doktor pakar

Dengan mengikuti tips yang dikongsikan oleh Dr. Khairul, diharapkan luka sunat anak anda akan cepat kering dan sembuh.

1. Buka balutan luka selepas 2 hari

Selepas selesai bersunat, ibu ayah dinasihatkan untuk membuka balutan gauze selepas 48 jam, atau selepas 2 hari. Untuk 2 hari pertama, anda perlu memastikan yang hujung lubang penis anak dibasuh dengan bersih setiap kali selepas membuang air kecil.

2. Lakukan cucian luka, selepas 2 hari

Selepas anda menanggalkan balutan sunat, lukanya juga perlu dicuci dengan rapi. Proses ini dikenali sebagai wound dressing.

Apa yang anda boleh buat adalah mencuci luka sunat dengan cecair normal saline yang boleh anda beli di farmasi atau klinik. Cucian ini perlu dibuat 3 ke 4 kali sehari.

Cuci luka dengan cecair saline secara perlahan dan keringkannya dengan menekap kain gauze. Antara tips sunat cepat sembuh yang dikongsikan oleh Dr. Khairul adalah anda boleh menggunakan hair dryer.

Gunakan suhu biasa pada hair dryer dan acukan angin ke arah penis anak selepas mencuci dengan saline. Ini membantu untuk membuatkan penis anak anda cepat kering dan kurang risiko jangkitan.

3. Jangan kopek atau tanggalkan keruping luka secara paksa

BACA:  Inilah Checklist Persiapan Menjelang Ramadan Yang Boleh Kita Lakukan

Anda juga dinasihatkan untuk memastikan keruping luka itu tidak digosok atau disental dengan kuat. Dr. Khairul menerangkan bahawa keruping tersebut akan tertanggal dengan sendiri apabila ia selalu dicuci atau terkena air semasa mandi.

4. Tip untuk menanggalkan keruping luka sunat yang bertempek

Masalah yang selalu dialami oleh ibu ayah tatkala membawa anaknya ke klinik Dr. Khairul adalah masalah kulit keruping yang melekat dan bertempek.

Anda boleh mengelakkan hal ini daripada terjadi dengan mengamalkan langkah 2 secara konsisten.

Antara tip lain yang dapat membantu menanggalkan keruping yang bertempek adalah dengan merendamkan penis anak anda ke dalam bekas kecil yang berisi cecair normal saline.

Biarkan ia direndam selama 3 ke 5 minit dan ulanginya 3 ke 4 kali sehari. Lambat laun, keruping tersebut akan luruh sendiri.

5. Atasi masalah bengkak pada penis

Selepas sunat, ia adalah menjadi kebiasaan untuk penis anak anda sedikit bengkak. Keadaan bengkak di sekitar kawasan luka sunat juga turut dipanggil sebagai bentan oleh orang Melayu.

Walaupun ia adalah hal biasa dan tidak perlu dibimbangkan, Dr. Khairul menasihatkan anda untuk melihat tanda jangkitan pada bengkak terbabit. Antara tandanya adalah:

  • Bengkak yang terlalu besar
  • Kulit di sekitar kawasan bengkak menjadi kemerah-merahan
  • Mempunyai cecair likat yang kelihatan seperti nanah
  • Berdenyut dan rasa sakit
  • Sakit masa kencing
  • Kawasan luka berdarah
  • Demam

Jika tanda di atas berlaku, ada kemungkinan yang anak anda mengalami jangkitan. Bawa berjumpa doktor jika ia terjadi.

6. Amalan berpantang selepas sunat

Walaupun anda akan mendengar pelbagai petua berpantang selepas sunat, Dr. Khairul menasihatkan supaya anda terus memberikan makanan berkhasiat dan bernutrisi penuh kepada anak anda.

BACA:  Allah mengurnia rahmat

Ini adalah supaya lukanya cepat sembuh. Berikannya air kosong yang mencukupi supaya dia kekal hidrasi.

Malah menurut beliau lagi, jika anak anda teringin untuk makan ayam, telur dan kicap (yang sangat tidak dibenarkan menurut pantang Melayu), izinkan sahaja. Ia tidak akan memberi kemudaratan.

7. Memakai kain pelikat selepas sunat

Doktor ini juga turut berkongsi tips sunat cepat sembuh dari segi pemakaian. Anda tidak semestinya perlu menyuruh anak anda memakai kain pelikat sahaja.

Seluar pun sudah boleh dipakai. Cumanya, anda perlu memastikan yang kepala penis itu tidak bergesel dengan kain seluar.

Antara helah mudah adalah meletakkan cawan corn-in-a-cup dan dibuang dasarnya. Letakkan pada penis. Anak anda mungkin akan mengambil masa antara 1 ke 3 minggu untuk membiasakan rasa bergesel antara kepala penis dengan kain.

Malah, doktor turut menggalakkan anak anda untuk bergerak selepas bersunat, dan bukannya berbaring selama berhari-hari.

Cumanya, jangan lakukan pergerakan yang terlampau aktif selepas bersunat seperti berlari atau bermain bola!

Amalkan tips sunat cepat sembuh di rumah
Anak anda amat memerlukan bantuan dan sokongan oleh ayah dan abang-abangnya selepas bersunat.

Pastikan dia mengambil ubat yang diberikan oleh doktor dan mengikut aturan pengambilan yang telah dijelaskan.

Jika anda tidak pasti dengan keadaan sunat anak, bawalah dirinya berjumpa dengan doktor untuk pemeriksaan dan kepastian.

Jadi, ibu ayah sekalian, mari amalkan tips sunat cepat sembuh di atas ya.

Semoga berjaya dan tahniah kerana anak anda telah berjaya melalui pahit getir bersunat yang pasti menjadi memori seumur hidupnya!

 

Sumber: my.theasianparent.com

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *