Motivasi

7 ‘Tidak’ Dalam Hidup Orang Berjaya

Usia 20-an sememangnya suatu fasa yang kritikal bagi kebanyakan orang. Fasa mencari pekerjaan, sebahagian mula memilih untuk mendirikan rumah tangga, ada yang ingin sambung pelajaran dan sebagainya.

Seorang yang rapat dengan saya baru-baru ini ada meluah. Dia merasakan hidupnya ‘stuck’, tidak ada progres atau perkara-perkara baru yang terjadi. Dia masih tidak mendapat panggilan kerja daripada mana-mana pihak, tidak ada sumber kewangan, tidak ada kenalan baru. Tidak ada aktiviti mencabar. Tidak ada. Segalanya seperti tersekat dan statik.

Dia bertanya adakah dia ditakdirkan untuk tidak berjaya dalam hidup? Bagaimana untuk dia bermula semula dan keluar daripada situasi tersebut. Saya pasti ramai di luar sana yang pernah atau sedang merasai hal yang sama seperti yang diceritakan diatas. Saya tidak ada jawapan yang konkrit bagi soalan tersebut, cuma ada beberapa perkara yang saya tahu dilakukan oleh orang yang mahu berjaya.

#1- Tidak Fokus Kepada Kehidupan Orang Lain

Kita sering membandingkan kehidupan kita dengan kehidupan orang lain. Apa yang dia ada dan kita tidak ada. Tempat mana yang dia ‘travel’ dan kita masih belum sampai. Makanan sedap yang dimuat naik ke Instagram. Kita cemburu, kita berasa seolah-olah kita kalah, kita mungkin akan menyalahkan diri sendiri atau lebih teruk lagi, kita akan mula menyalahkan Tuhan atas nasib kita.

Orang yang berjaya tidak akan fokus kepada kehidupan orang lain. Mereka akan fokus untuk membina kehidupan sendiri. Kehidupan orang lain hanya akan dijadikan panduan, bukan suatu perbandingan.

#2 – Tidak Menghabiskan Banyak Masa Dengan Media Sosial

Orang yang berjaya tidak akan menghabiskan banyak masa dengan media sosial. Buka Facebook. Kemudian Twitter. Kemudian Instagram. Kemudian ulang lagi. Aplikasi-aplikasi ini memang ada manfaatnya namun tanpa kita sedari ia mencuri masa kita. Masa yang sepatutnya dapat digunakan untuk melakukan aktiviti lain hilang begitu saja.

BACA:  Dia dari spesis istimewa

#3 – Tidak Melakukan Aktiviti-Aktiviti Yang Boleh Menyerap Aura Negatif Ke Dalam Diri

Orang yang berjaya akan bijak menafsir keadaan dan situasi. Mereka tidak akan membazir masa terlibat dengan keadaan atau orang yang mampu membawa aura negatif ke dalam hidup mereka. Contohnya bercakap dengan orang yang suka mengutuk dan bercerita buruk tentang hidup orang lain.

#4 – Tidak Tenggelam Dalam Masa Lalu

Orang yang berjaya tidak akan membiarkan diri mereka tenggelam dalam masa lalu. Kita bukanlah masa lalu atau masa hadapan. Yang kita ada hanyalah masa sekarang. Mereka akan memanfaatkan dengan sebenar-benarnya apa yang ada di hadapan mereka.

Masa lalu hanyalah pedoman untuk mereka menjadi lebih bijak berfikir dan bertindak. Mereka akan memaafkan diri sendiri atas kesilapan lalu yang dilakukan seterusnya terus bergerak ke hadapan.

#5 – Tidak Hanya Menunggu Kesempatan Datang

Orang yang berjaya tidak akan menunggu kesempatan untuk melakukan perubahan dalam hidup. Mereka memulakan dengan apa yang ada pada mereka sekarang serta mencari ruang dan peluang. Apabila saya bercakap mengenai ‘perubahan’, tidak semestinya ia adalah perkara yang besar dan menakjubkan.

Perubahan boleh jadi suatu yang biasa seperti mengemas katil sebaik saja bangun dari tidur atau memastikan meja kerja sentiasa bersih dan teratur. Perubahan juga boleh jadi sesuatu yang bermanfaat untuk diri seperti belajar skill baru seperti bercucuk tanam, menjahit, dan membuat poster. Perubahan boleh jadi apa saja!

#6 – Tidak Risaukan Perkara Di Luar Kawalan Mereka

Orang yang berjaya tidak akan risau dengan hal-hal di luar kawalan mereka iaitu hal yang bersifat kemungkinan atau masih tidak pasti. Contohnya adakah mereka masih sihat 5 tahun lagi? Adakah mereka masih hidup untuk menikmati kejayaan nanti? Adakah segala usaha yang dilakukan akan bernilai?

BACA:  Hatinya Tidak Buta..

Hal-hal tersebut adalah di luar kawalan kita. Sebagai manusia biasa kita hanya mampu melakukan yang terbaik pada saat ini dan menyerahkan selebihnya kepada Tuhan.

#7 – Tidak Meletakkan Diri Mereka Sendiri Sebagai Prioriti Terakhir

Orang yang bijak tidak akan meletakkan diri mereka di tempat terakhir. Mereka akan prihatin dengan kebajikan diri sendiri sebagaimana mereka prihatin dengan masalah orang lain. Mereka tidak akan takut berkata tidak kepada keinginan orang lain apabila diri mereka sendiri memerlukan ruang, masa dan perhatian.

Orang yang berjaya tidak semestinya orang yang terlihat hebat, punyai pekerjaan bagus dan berpoket tebal. Orang yang berjaya ialah orang yang mempunyai personaliti dan sikap yang cemerlang. Orang yang berjaya ialah orang yang tahu harga diri dan di lapangan mana mereka ingin berfungsi menyumbang. Selamat menjadi orang yang berjaya!

 

Sumber: tazkirah.net 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *