Lifestyle, Motivasi

6 Rahsia Untuk Menemui Kegembiraan Dalam Kehidupan Seharian

Saya kerap kali tertanya-tanya, bagaimana kegembiraan boleh muncul, dan bagaimana ingin mengekalkannya. Pernah anda rasa dada anda seakan-akan mengembang kerana terlampau gembira? (Maaf, membaca sastera menjadikan bahasa saya jadi sedikit melankoli).

Apabila saya menempuhi saat-saat atau ‘moment’ begini, saya berharap mata dan minda saya mampu merekod segala-galanya. Gelak tawa orang di sekeliling saya, senyuman, gurau senda, segalanya.

Namun, otak manusia bukan kamera. Adalah suatu yang mustahil untuk saya mengingati semua hal. Semakin lama masa berlalu, semakin kabur segala butiran dan situasi yang pernah kita alami. Mungkin kerana itu juga, ada orang yang bersetuju dengan pernyataan bahawa ‘masa boleh menyembuhkan’, kerana masa juga boleh mengaburkan ingatan.

Jadi, kembali kepada topik kita, bagaimana untuk menemui kegembiraan dalam kehidupan seharian sebenarnya?

#1 – Usah Menunggu Kebahagiaan

Pasti ramai antara kita gembira apabila suatu perkara yang menyeronokkan berlaku dalam hidup. Ada kehidupan yang selesa, duit yang cukup, disayangi ramai orang. Tetapi pasti hal ini tidak berpanjangan selama-lamanya. Firman Allah dalam Surah Al-Baqarah (2:155-156):

“Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut (kepada musuh) dan (dengan merasai) kelaparan, dan (dengan berlakunya) kekurangan dari harta benda dan jiwa serta hasil tanaman. Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar.

(Iaitu) orang-orang yang apabila mereka ditimpa oleh sesuatu kesusahan, mereka berkata: “Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali.”

Jadi, usah tunggu kebahagiaan untuk muncul dalam kehidupan anda. Hargai apa yang ada di hadapan anda sekarang.

#2 – Kebahagian Tidak Terletak Pada Orang Atau Keadaan

Ramai yang mudah kecewa apabila seseorang yang disayangi tidak ada lagi dalam hidup mereka. Sahabat baik, pasangan, atau kekasih. Namun percaya atau tidak, bahawa kebahagiaan adalah pilihan yang ada di tangan anda sendiri.

BACA:  8 Sunnah Cara Rasulullah Menjaga Kesihatan Diri & Hidup Sihat

Kebahagiaan tidak terletak pada orang. Jika anda mampu membebaskan diri daripada pemikiran sebegini, maka anda sudah bebas dari terlalu berharap kepada manusia.

#3 – Hidup Pada Masa Sekarang

Masa lalu adalah kenangan, masa sekarang adalah kenyataan dan masa depan adalah harapan. Dalam ketiga-tiga tempoh ini, yang benar-benar pasti dan terasa nyata hanyalah waktu sekarang. Maka hargai sepenuhnya apa yang sedang anda lalui sekarang kerana ianya tidak akan berulang.

#4 – Hargai Perkara-Perkara Kecil Dalam Kehidupan Anda

Adakah jalan yang anda lalui ke tempat kerja atau ke kelas hari ini masih sama? Adakah kesesakan lalu lintas yang dilalui lebih panjang dari semalam? Tarik nafas dan cuba nikmati setiap apa yang ada di sekeliling. Kadang-kadang ada suatu yang mampu kita syukuri dalam hal-hal yang terasa seakan rutin.

#5 – Usah Terlalu Risau

Ada masalah yang tidak mampu selesai sekelip mata, ada juga yang mampu kita cari jalan keluarnya. Bahkan setelah selesai satu masalah, pasti akan ada cabaran yang seterusnya. Rehatkan minda anda daripada terlalu banyak memikirkan masalah yang ada. Dari situ, anda dapat memberikan ruang kepada perkara-perkara menggembirakan untuk mengambil tempat dalam diri anda.

#6 – Rancang Kegembiraan Anda

Memang kegembiraan atau kebahagiaan adalah suatu yang subjektif, tetapi kita mampu mengusahakan sesuatu bukan? Kegembiraan juga mampu hadir melalui pengalaman. Anda boleh merancang sesuatu untuk dilakukan bersama kawan-kawan dan keluarga seperti makan bersama, beriadah, dan berkelah.

Hakikatnya, terlalu banyak kemungkinan serta perkara di sekeliling yang sebenarnya mampu membuat kita tersenyum gembira. Islam juga tidak mengajar penganutnya untuk sentiasa berkeluh-kesah. Mungkin kegembiraan sudah mengetuk berkali-kali cuma kita sendiri tidak mahu membuka. Maka untuk menjemput kegembiraan, kita perlu membuka pintu hati untuk menerima kehadirannya.

BACA:  8 Sifat Negatif Wajib Dibuang Untuk Berjaya

 

Sumber: Tazkirah.net 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

error: Content is protected !!