Tazkirah

5 Nasihat Jibril Kepada Rasulullah SAW

Kebiasaannya apabila Malaikat Jibril ingin menyampaikan pesanan daripada Allah, kepada Nabi SAW, panggilan yang akan digunakan ialah ‘Ya Nabiyallah” atau “Ya Rasulullah”.

Namun pada suatu hari, Jibril datang kepada Nabi SAW untuk menyampaikan pesanan dan panggilan yang digunakan ialah “Ya Muhammad”. Sesetengah ilmuwan berpendapat bahawa panggilan itu digunakan untuk memberitahu bahawa pesanan yang disampaikan itu khusus pesanan istimewa daripada JIbril sendiri kepada Rasulullah.

Malaikat Jibril menyampaikan pesanan ini ketika Islam sudah tersebar dan dakwah sudah boleh diterima oleh umum. Hadis ini disampaikan sewaktu hayat Rasulullah SAW semakin sampai ke penghujungnya.

Sabda Rasulullah SAW:

عن سهل بن سعد قال جاء جبريل إلى النبي صلى الله عليه وسلم فقال: يَا مُحَمَّدُ عِشْ مَا شِئْتَ فَإِنَّكَ مَيِّتٌ وَأَحْبِبْ مَنْ شِئْتَ فَإِنَّكَ مَفَارِقُهُ وَاعْمَلْ مَا شِئْتَ فَإِنَّكَ مَجْزِيٌّ بِهِ ثُمَّ قَالَ: يَا مُحَمَّدُ شَرَفُ الْمُؤْمِنِ قِيَامُهُ بِاللَّيْلِ وَعِزُّهُ اسْتِغْنَاؤُهُ عَنِ النَّاسِ

Dari Sahl bin Sa’ad ra, berkata: Jibril datang kepada Nabi saw, lalu berkata: “Wahai Muhammad! Hiduplah sesukamu, kerana sesungguhnya kamu akan mati, cintailah siapa yang kamu suka, kerana sesungguhnya engkau akan berpisah dengannya dan berbuatlah sesukamu, kereana sesungguhnya engkau akan diberi balasan kerananya.”

Kemudian dia berkata:” Wahai Muhammad! Kemulian seorang mukmin adalah berdirinya dia pada malam hari (untuk solat malam), dan keperkasaannya adalah ketidakbergantungannya kepada manusia.”

Lima nasihat dalam hadis di atas boleh diringkaskan seperti berikut:

#1- Hiduplah Sesukamu Kerana Kamu Akan Mati

Malaikat Jibril mengingatkan bahawa manusia akan mati. Dan ingatan kepada kematian akan menghilangkan kelazatan dan rasa cinta kepada dunia. Bagaimana pun seseorang itu mengharungi hidupnya, di akhirnya dia akan tetap kembali kepada Allah.

BACA:  Doa Awal dan Akhir Tahun

“Tiap-tiap yang berjiwa akan merasakan mati. Dan Sesungguhnya pada hari kiamat sajalah disempurnakan pahalamu…” – (Surah Ali Imran 3: 185)

#2- Cintailah Siapa Yang Kamu Suka Kerana Kamu Akan Berpisah Darinya

Setiap orang pasti ada orang yang disayangi dan dicintainya. Maka ruang diberikan kepada kita untuk menyayangi mereka. Namun seberapa kuat rasa sayang yang ada, kita akan tetap berpisah dengan orang yang paling kita cinta di dunia. Maka, Jibril mengingatkan bahawa janganlah mereka menjadi penghalang kepada tujuan kita yang sebenarnya iaitu akhirat yang lebih kekal abadi.

#3- Buatlah Sesuka Hati Namun Kamu Akan Diminta Bertanggungjawab Atasnya

Antara kebebasan yang paling besar diberikan kepada manusia ialah kebebasan untuk memilih. Mengapa? Kerana sekalipun beribu ayat yang diturunkan daripada Allah, seberapa banyak pun peringatan yang diberikan daripada Rasulullah SAW, akhirnya yang akan memilih untuk melakukannya ialah manusia itu sendiri. Tidak ada siapa pun yang dapat memaksa. Cuma, setiap pilihan yang dibuat tidak akan sesekali terlepas daripada pandangan Allah. Setiap apa yang dilakukan akan diminta pertanggungjawabannya di akhirat kelak.

#4- Kemulian Mukmin Dilihat Apabila Dia Bangun Solat Malam

Mengapa penekanan diberikan kepada orang yang bangun malam? Kerana pada waktu ini adalah waktu yang paling sunyi dan tiada orang. Mereka bangun semata-mata kerana ingin beribadah kepada Allah. Mereka hanya ingin membuat Allah sayang dan cinta kepada mereka. Waktu ini, tempat tumpuan dan perhatian bukan lagi kepada manusia lain tetapi Allah sahaja.

#5- Tidak Bergantung Kepada Manusia

Akhir sekali, Jibril mengingatkan bahawa kekuatan seorang manusia itu adalah apabila dia tidak bergantung kepada manusia. Dalam erti kata lain, bantuan dari manusia itu perlu namun tempat bergantung yang sebenarnya hanyalah kepada Allah. Hati yang kuat hanya terikat kepada Allah dan bukan pada makhluknya.

BACA:  Hukum Berbohong Dalam Islam

Lima pesanan ini ialah perkara yang sangat dekat dengan manusia. Manusia sangat cinta kepada apa yang mereka ada (orang dan harta), tentang perbuatan seharian dan tentang ibadah yang paling sukar dilakukan (tahajud). Hakikatnya lima perkara ini perlu sentiasa diingati. Kemampuan kita untuk menguruskan lima perkara ini dengan baik akan menentukan pula kebaikan yang akan kita terima di akhirat sana.

Nota:
(HR. At-Tabarani dalam al-Mu’jam al-Ausath no 4278, Abu Nu’aim dalam Hilyatul Auliyaa, al-Hakim dalam al-Mustadrak 7921) – Hadis ini dinyatakan hasan oleh Syaikh al-Albani dalam Silsilah al-Ahadis As-Sahihah 2/483

 

Sumber: Tazkirah.net 

Berminat menulis berkaitan Islam? Hantarkan artikel anda di sini: www.islamituindah.my/hantar-artikel

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

error: Content is protected !!