General

5 Jenis Tidur Yang Disebutkan Dalam Al-Quran

Manusia memerlukan tidur untuk berehat tidak kira lah tidur pada waktu malam atau tidur sekejap pada waktu siang. Waktu tidur adalah waktu untuk bertenang dari segala macam hal yang menyerabutkan.

Sesetengah orang apabila ditanya; Apa yang akan mereka lakukan apabila stres atau penat? Salah satu jawapan yang akan kerap kita dengar adalah ‘tidur’. Tidur adalah fitrah dan keperluan bagi manusia. Mari kita lihat pula apa kata Allah dalam al-Quran berkenaan tidur.

#1- “Sinah”

Kalimah ini ada tercatat dalam Surah Al-Baqarah ayat 225.

اللَّـهُ لَا إِلَـٰهَ إِلَّا هُوَ الْحَيُّ الْقَيُّومُ ۚ لَا تَأْخُذُهُ سِنَةٌ وَلَا نَوْمٌ ۚ

“Allah, tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia, Yang Tetap hidup, Yang Kekal selama-lamanya mentadbirkan (sekalian makhlukNya). Yang tidak mengantuk usahkan tidur.”

Dalam Al Quran terjemahan bahasa Melayu, kalimah “Sinah” ditafsirkan sebagai ‘mengantuk’ namun dalam terjemahan yang lebih tepat, ianya bermaksud ‘terlelap’ dalam kadar waktu yang sangat sekejap. Maka, ayat ini bermaksud Allah tidak terlelap walaupun sekejap apatah lagi tidur. Dalam dunia sains hari ini, fasa ‘Sinah’ ini boleh dikira sebagai Fasa 1 Kitaran Tidur (Stage 1 Sleep Cyle).

#2- “Nu’ass”

Dua ayat dalam Quran menggunakan perkataan ini. Satu pada ayat Surah Al-Anfal, ayat 11 dan satu lagi dalam Surah Ali-Imran ayat 154.

إِذْ يُغَشِّيكُمُ النُّعَاسَ أَمَنَةً مِّنْهُ

(Ingatlah) ketika kamu diliputi perasaan mengantuk sebagai satu (pemberian) aman dari Allah (untuk menghapuskan kecemasan kamu)
(Surah Al-Anfal, 8:11)

Ayat ini berkenaan perasaan takut, cemas dan tertekan yang dialami oleh pasukan Islam ketika Perang Badar. Allah mengurniakan rasa mengantuk supaya mereka berasa tenang dan tenteram. Perkataan Nu’ass di sini membawa maksud ‘short nap’ atau tidur yang sekejap yang boleh diasimilasikan dengan Fasa 1 dan 2 Kitaran Tidur.

BACA:  30 Orang Yang Pertama Dalam Islam

Kajian juga mendapati bahawa tidur yang sekejap dapat mengurangkan stress dan tekanan darah. Perubahan yang paling ketara pada tekanan darah didapati saat lampu ditutup dan bermulanya manusia memasuki Fasa 1 kitaran tidur.

Ayat kedua yang mempunyai kalimah Nu’ass adalah dalam Surah Ali-Imran ayat 154.

ثُمَّ أَنزَلَ عَلَيْكُم مِّن بَعْدِ الْغَمِّ أَمَنَةً نُّعَاسًا يَغْشَىٰ طَائِفَةً مِّنكُمْ

“Kemudian sesudah (kamu mengalami kejadian) yang mendukacitakan itu, Allah menurunkan kepada kamu perasaan aman tenteram, iaitu rasa mengantuk yang meliputi segolongan dari kamu (yang teguh imannya lagi ikhlas)”

#3- “Ruqood”

Perkataan ini mempunyai beberapa tafsiran, tetapi menurut kajian yang dilakukan oleh Ahmed S. Bahammam dalam jurnal yang bertajuk “Sleep from Islamic Perspective”, beliau berpandangan bahawa kalimah ‘ruqood’ bermakna tidur dalam tempoh yang sangat lama.

وَتَحْسَبُهُمْ أَيْقَاظًا وَهُمْ رُقُودٌ ۚ وَنُقَلِّبُهُمْ ذَاتَ الْيَمِينِ وَذَاتَ الشِّمَالِ ۖ وَكَلْبُهُم بَاسِطٌ ذِرَاعَيْهِ بِالْوَصِيدِ ۚ لَوِ اطَّلَعْتَ عَلَيْهِمْ لَوَلَّيْتَ مِنْهُمْ فِرَارًا وَلَمُلِئْتَ مِنْهُمْ رُعْبًا

Dan engkau sangka mereka sedar, padahal mereka tidur; dan Kami balik-balikkan mereka dalam tidurnya ke sebelah kanan dan ke sebelah kiri; sedang anjing mereka menghulurkan dua kaki depannya dekat pintu gua; jika engkau melihat mereka, tentulah engkau akan berpaling melarikan diri dari mereka, dan tentulah engkau akan merasa sepenuh-penuh gerun takut kepada mereka
(Surah Al-Kahf 18:18)

Ayat ini berkenaan kisah Ashabul Kahfi yang tidur selama 300 tahun di dalam gua. Allah menegaskan bahawa mereka bukan mati tetapi tidur dalam masa yang sangat lama. Betapa berkuasanya Allah menjadikan apa pun yang Dia mahukan meskipun sesuatu itu terlihat mustahil.

#4 – “Hojoo’”

Perkataan ini terdapat dalam Surah Az-Zariyat, ayat 17-18 yang menerangkan tentang golongan beriman dan soleh yang takut kepada Allah. Perkataan dalam ayat ini ialah يَهْجَعُونَ atau dalam kata nama هُجُوع (baca: Huju’) di sini bermakna tidur pada waktu malam. Mereka ini adalah golongan yang sedikit tidur pada waktu malam kerana beribadah kepada Allah.

BACA:  Galakan Islam Pada Kekayaan

كَانُوا قَلِيلًا مِّنَ اللَّيْلِ مَا يَهْجَعُونَ ﴿١٧﴾ وَبِالْأَسْحَارِ هُمْ يَسْتَغْفِرُونَ

Mereka sentiasa mengambil sedikit sahaja: masa dari waktu malam, untuk mereka tidur. Dan pada waktu akhir malam (sebelum fajar) pula, mereka selalu beristighfar kepada Allah (memohon ampun)
(Surah Al-Zariyat, 51:17-18)

#5- “Subaat”

وَجَعَلْنَا نَوْمَكُمْ سُبَاتًا

Dan Kami telah menjadikan tidur kamu untuk berehat?
(Surah An-Naba; 78:9)

Perkataan “Subaat” berasal daripada perkataan Arab “Sabt” yang bermaksud ‘terputus’. Perkataan ini boleh juga difahami dengan situasi di mana tidur membuatkan hubungan dengan perkara-perkara di sekeliling terputus. ‘Subaat’ boleh dikira sebagai ‘deep sleep’ atau tidur nyenyak, sesuai dengan fasa ‘slow wave sleep’ (gelombang tidur perlahan) yang dikenalpasti oleh para saintis dalam kajian tidur.

Tidur adalah rutin biasa, namun suatu anugerah yang luar biasa sebenarnya daripada Tuhan. Usah abaikan waktu tidur dengan berjaga terlalu lewat pada waktu malam. Dapatkan tidur yang berkualiti untuk kecergasan pada esok hari!

 

Sumber: Tazkirah.net 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

error: Content is protected !!