Tazkirah

5 Amalan Yang Membebaskan Diri Daripada Api Neraka

Sebelum pulang ke ‘kampung’ akhirat, kita perlulah menyediakan bekalan dengan sebaiknya. Bekalan tersebut adalah sebagai bukti bahawa kita menjadi hamba Allah S.W.T yang taat mematuhi perintahNya.

Bekalan yang dibawa haruslah benar dan datang daripada sumber yang sahih iaitu dari al-Quran dan as-Sunnah. Bukan bekalan yang boleh menyebabkan kita tersasar ke neraka. Nauzubillah minzalik.

Allah itu sangat sayang akan hambaNya lalu Dia mengutuskan Nabi Muhammad S.A.W untuk menyampaikan wahyu kepada kita menuju ke jalan kebenaran. Bukan itu sahaja, Baginda turut memberi peringatan agar tidak terjebak ke jalan kejahatan dan kesesatan. Allah S.W.T berfirman di dalam al-Quran yang bermaksud:

“Sesungguhnya Kami telah mengutuskan engkau (wahai Muhammad) dengan kebenaran, (serta menjadi) pembawa khabar gembira (kepada orang-orang yang beriman) dan pembawa amaran (kepada orang-orang yang ingkar). Dan (setelah engkau sampaikan semuanya itu), engkau tidak akan diminta (bertanggungjawab) tentang ahli neraka.”
Surah Al-Baqarah 2:119

Insha Allah, artikel kali ini penulis akan menyenaraikan beberapa amalan yang dapat membebaskan kita daripada api neraka dan membawa ke syurga. Semoga kita semua diberi kekuatan dan semangat untuk terus melakukan kebaikan. Amin.

Amalan Pertama

Daripada Saidatina Aisyah r.ha., Rasulullah S.A.W bersabda yang bermaksud:

“Sesungguhnya setiap manusia daripada keturunan Adam diciptakan dengan memiliki 360 sendi. Sesiapa yang bertakbir kepada Allah, bertahmid kepada Allah, bertahlil kepada Allah, bertasbih kepada Allah, beristighfar kepada Allah, menyingkirkan batu dari laluan orang ramai, membuang duri atau tulang dari laluan orang ramai, amar makruf atau nahi mungkar melibatkan sebanyak 360 sendi itu, maka sesungguhnya dia berjalan pada hari itu sambil dia telah menjauhkan dirinya dari neraka.”
Hadis Riwayat Muslim

BACA:  7 Tips Mendidik Anak Anda Ketika Berada Di Masjid

Setiap kebaikan yang dibuat akan memperoleh ganjarannya. Dan antara ganjarannya dapat menjauhkan diri dari neraka. Alangkah bahagianya mereka yang terselamat daripada azab neraka.

Amalan Kedua

Daripada Ummu Habibah r.ha, Rasulullah S.A.W pernah bersabda yang bermaksud:

“Sesiapa yang mengerjakan solat 4 rakaat sebelum Zuhur(Qabliyyah) dan 4 rakaat selepasnya (ba’diyyah), Allah akan mengharamkan neraka baginya.”
Hadis Riwayat Nasa’i

Solat sunat 4 rakaat ini boleh dibuat :

1. Dua rakaat satu salam (seperti solat dua rakaat-dibuat dua kali)
2. Empat rakaat satu salam (sekaligus)

Jika berkesempatan lakukan solat sunat ini. Hal ini kerana, Allah telah berjanji mengharamkan neraka bagi mereka yang melakukannya. Subhanaallah!

Amalan Ketiga

Daripada Umar R.A, Rasulullah S.A.W pernah bersabda yang bermaksud:

“Tidaklah salah seorang daripada kalangan kalian berwuduk lalu memperelokkan wuduknya, kemudian mengucapkan, “Aku bersaksi bahawa tiada tuhan (yang layak disembah) melainkan Allah dan bahawa Nabi Muhammad ialah hamba Allah dan utusan-Nya, melainkan akan dibukakan untuknya lapan pintu syurga, dia boleh masuk melalui pintu mana sahaja yang dia kehendaki.”
Hadis Riwayat Muslim

Amalan Keempat

Daripada Sayyidina Abu Umamah (al-Bahili) ra. berkata: Rasulullah S.A.W bersabda yang bermaksud:

“Sesiapa yang membaca Ayat Kursi setiap kali selepas solat fardu, tidak ada yang boleh menghalangnya daripada memasuki syurga kecuali kematian.”
Hadis Riwayat an-Nasa’I

Berilah sedikit ruang waktu untuk membaca ayat Kursi selepas mengerjakan solat fardu. Tidak sampai beberapa minit, ayatnya ringkas sahaja.

Tidak ada yang menghalang mereka yang membaca ayat Kursi untuk masuk ke syurga melainkan kematian adalah bermaksud dijamin syurga untuknya. Hal ini kerana, kita tidak akan masuk syurga kecuali perlu mengalami fasa kematian.

Amalan Kelima

BACA:  Inilah 9 Tanda-Tanda Taubat Kita Telah Diterima

Daripada Saidatina Aisyah r.ha, beliau berkata:

“Pernah ada seorang wanita bersama dua orang puterinya datang menemui saya untuk meminta sesuatu. Namun, tidak ada sesuatu pun di sisi saya kecuali sebiji kurma. Lalu, saya memberikan kurma itu kepadanya. Dia pun membahagikan kurma itu di antara dua orang anak perempuannya, sedangkan dia tidak memakannya. Kemudian, dia bangun dan lalu pergi. Tidak lama kemudian, Rasulullah S.A.W masuk menemui kami, dan saya menceritakan kepada Rasulullah (kejadian tadi). Maka, Baginda bersabda, “Sesiapa yang diuji dengan sesuatu daripada anak-anak perempuan ini (anak-anak wanita tadi), lalu dia berbuat baik kepada mereka, nescaya mereka akan menjadi perisai baginya dari api neraka.”
Hadis Riwayat Bukhari Dan Muslim

Berbuat baik kepada anak-anak walaupun dalam keadaan yang susah dan tidak menyenangkan amatlah dipuji. Benarlah kasih seorang ibu cukuplah besar dan tidak ternilai. Sesungguhnya ada kebaikan di dalam kebaikan. Waallahu a’lam.

Rujukan:

1. Ceramah Dato’ Ustaz Shamsuri Haji Ahmad
2. Ringkasan Riyadhus Solihin
3. Amalan Kecil Berpahala Besar (Penulis: Fahrur Muis)
4. Amalan Kecil Pahala Berganda (Penulis: Ustaz Muhadir Haji Joll)

 

Sumber: tzkrh.com 

Berminat menulis berkaitan Islam? Hantarkan artikel anda di sini: www.islamituindah.my/hantar-artikel

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

error: Content is protected !!