Ibadah, Solat, Tazkirah

4 Ganjaran Di Dunia Buat Anda Pencinta Solat Tahajud

“Dan pada sebahagian malam hari bersolat tahajudlah kamu sebagi suatu ibadat tambahan bagimu; mudah-mudahan Tuhan-mu mengangkat kami ke tempat yang terpuji.”
Surah Isra’: 79

Solat tahajud merupakan salah satu hadiah yang diberikan oleh Allah dalam kehidupan kita sebagai manusia di dunia ini.

Selain kemudahan solat jamak yang merupakan hadiah semasa perjalanan musafir, solat tahajud juga boleh dijadikan sebagai salah satu hadiah yang Allah hadirkan buat kita.

Tujuan utama seorang hamba bangun malam dengan bersolat tahajud adalah untuk menunjukkan petanda perhambaan kepada Allah.

Kita perlu sedar bahawa kita hamba yang tidak mampu berdiri dengan izin-Nya, kita manusia yang sangat lemah dan penuh dengan bergunung dosa, jadi luahan kita pada Rabb amat sesuai dilakukan pada pertemuan istimewa ketika solat tahajud. Firman Allah yang bermaksud;

Sebenarnya sembahyang dan ibadat malam lebih kuat kesannya (kepada jiwa) dan lebih tetap betul bacaannya. (Kami galakkan engkau dan umatmu beribadat pada waktu malam), kerana sesungguhnya engkau pada siang hari mempunyai urusan-urusan yang panjang kira bicaranya”
Surah al-Muzammil : 6-7

Kalam ulama menyatakan dua perkara yang menunjukkan dosa kita masih banyak membelenggu diri kita, iaitu pertama adalah solat tahajud.

Jika diri kita susah diberi peluang untuk bangun solat tahajud, sedar bahawa diri kita masih mempunyai banyak dosa yang menjadi asbab untuk kita bangun bertahajud.

Kedua, puasa sunat terutama Isnin dan Khamis. Puasa juga menjadi kayu ukur yang menunjukkan keadaan diri kita.

Jika diri berasa susah untuk melakukan puasa sunat, itu adalah salah satu tanda diri kita masih lagi sentiasa berdosa.

#1 – Menjauhkan Diri Daripada Penyakit

Kesan solat tahajud pada diri kita adalah dapat menjauhkan diri kita daripada penyakit kerana ia merupakan salah satu senaman dan gabungan istirehat.

BACA:  Allah mengurnia rahmat

Semasa berdiri tegak dan mengangkat takbir, secara tidak langsung rongga toraks dalam peparu kita di besarkan isipadunya. Isipadu yang tinggi membenarkan lebih banyak oksigen diserap ke dalam badan.

Hal ini kerana, udara sejuk pada waktu malam menjadi lebih tumpat daripada udara di waktu siang. Nikmat ini dapat dirasai semasa solat tahajud kerana udara lebih tepu di permukaan bumi. Ini adalah salah satu ganjaran dari segi menjauhkan diri kita daripada penyakit.

#2 – Melahirkan Rasa Taqwa Pada Wajah

Selain itu, kelebihan solat tahajud di dunia ini yang telah dinukilkan oleh Saidina Umar Al-Khattab adalah akan melahirkan rasa taqwa pada wajah seseorang hamba yang melakukan solat tahajud ini.

Kesan taqwa ini adalah lahir darpada solat tahajud yang sentiasa dilakukan. Diriwayatkan dari Abu Hurairah R.A., bahawa Rasulullah S.A.W bersabda;

“Tuhan kita turun ke langit dunia setiap malam, ketika masih tinggal sepertiga malam yang terakhir. Allah berfirman: ‘Siapa yang berdoa kepada-Ku, Aku akan mengabulkannya. Siapa yang memohon kepada-Ku, Aku akan memberinya. Dan siapa yang memohon keampunan kepada-Ku, Aku akan mengampuninya.”
HR. Bukhari no. 1145 dan Muslim no. 1808

#3 – Dikasihi Allah Dan Manusia

Seterusnya, ganjaran dari melakukan solat tahajud ini juga akan menyebabkan diri kita sentiasa dikasihi oleh semua orang kerana, apabila diri sering melakukan solat tahajud, hubungan dengan Allah menjadi lebih erat, apatah lagi hubungan dengan manusia yang berada di dunia ini.

Di samping itu, dalam percakapan yang diungkapkan, ada butiran hikmahnya yang tidak ada pada orang-orang biasa. Inilah yang menambahkan lagi thiqah atau kepercayaan masyarakat sekeliling kepada diri kita.

Oleh sebab itu, setiap butiran yang dikeluarkan daripada mulut mereka, bukan sekadar ayat yang biasa, namun mampu menyeap ke dalam jiwa bagi orang yang mendengarnya. Firman Allah Taala dalam Al Quran yang bermaksud;

BACA:  Rahsia amalan sunat bersugi

“Sesungguhnya orang-orang yang bertakwa adalah ditempatkan di dalam beberapa taman Syurga, dengan mata air-mata air terpancar padanya. (Keadaan mereka di sana) sentiasa menerima nikmat dan rahmat yang diberikan kepadanya oleh Tuhan mereka. Sesungguhnya mereka di dunia dahulu adalah orang-orang yang berbuat kebaikan, mereka sentiasa mengambil sedikit sahaja: Masa dari waktu malam, untuk mereka tidur.”
Surah al-Zariyat: 15-17

#4 – Dimurahkan Rezeki

Melalui solat tahajud yang dilakukan, kita mendapat kekuatan dan rezeki. Kekuatan yang diperolehi adalah setelah selesai solat tahajud kerana, semua masalah yang terpendam dalam hati telah diluahkan dan diceritakan kepada Allah.

Masalah yang kita hadapi amat perit untuk dibebani seorang diri, dengan meluahkan dan menceritakan kepada Tuhan, hati menjadi lebih senang dan tenang. Hal ini dijelaskan lagi dalam hadis Nabi Muhammad S.A.W yang bermaksud;

“Wahai manusia, sebarkan salam, berikanlah makanan, sambunglah hubungan persaudaraan dan lakukan solat pada waktu malam ketika manusia sedang tidur, maka kamu semua akan masuk syurga dengan penuh kedamaian.”
Riwayat Tirmizi dan Ibnu Majah

Berserah dan bertawakkallah kepada Allah dalam wasilah tahajud yang dihadiahkan kepada semua hamba Allah di atas dunia ini. Lakukan dengan penuh tumpuan hati. Allah Maha Mendengar setiap rintihan hambaNya.

Rujukan;
Muhammad Muhyidin (2011), Bertahajudlah Nescaya Engkau Akan Mulia!. Selangor, Al-Hidayah House Of Publishers Sdn. Bhd.

 

Sumber: Tazkirah.net 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *