Lifestyle, Motivasi

4 Cara Untuk Anda Lebih Tenang Menjalani Hidup Yang Sibuk

Anda pasti pernah merasakan bahawa hidup anda bergerak terlalu laju. Kerja, balik kerja, esoknya kerja lagi dan tanpa anda sedari rupa-rupanya sudah cukup seminggu. Sebenarnya ada cara untuk menjadikan rutin anda lebih bermakna. Berikut antara langkah yang boleh anda lakukan:

#1- Tarik Nafas

Hakikatnya kita sentiasa bernafas . Namun apa yang saya maksudkan di sini ialah anda ‘sedar’ bahawa anda sedang bernafas. Teknik ini boleh juga disebut sebagai mindful breathing. Sebagai pelajar psikologi, kami sentiasa diingatkan bahawa keadaan emosi dan fikiran mampu mempengaruhi tindakan dan prestasi. Jadi, pensyarah mewajibkan kami untuk melakukan ‘mindful breathing’ sebelum sesi kelas bermula.

Kata beliau, semakin banyak tugasan dan tekanan yang dihadapi, maka semakin kerap juga kita perlu mengambil masa untuk bertenang. Pernafasan teratur ini boleh dilakukan dalam masa 3-5 minit.

– Pilih suasana yang tenang dan tidak bising.
– Duduk dalam keadaan selesa.
– Pejamkan mata dan bernafas.

(Paling penting ketika sesi ini, anda perlu mengosongkan fikiran anda daripada apa-apa perkara; kerja, masalah, tugasan dan sebagainya. Fokuskan kepada pernafasan anda sahaja)

#2 – Solat Sunat Dhuha

“Diriwayatkan dari Abu Hurairah bahawa ia berkata;
‘‘Kekasihku (Rasulullah) memberikan pesan (wasiat) kepadaku dengan tiga hal yang tidak pernah aku tinggalkan hingga aku meninggal nanti. Iaitu puasa tiga hari setiap bulan, solat Dhuha, dan tidur dalam keadaan sudah mengerjakan solat witir’.”
Hadis Riwayat Bukhari

Daripada Abi Zar RA, bahawa Nabi SAW bersabda:
Maksudnya: “Pada pagi hari, setiap sendi salah seorang daripada kamu memerlukan kepada sedekah. Maka setiap tasbih (subhanallah) itu adalah sedekah, setiap tahmid (alhamdulillah) itu adalah sedekah, setiap takbir (allahuakbar) itu adalah sedekah, menyuruh berbuat perkara yang baik adalah sedekah, melarang daripada perkara yang mungkar adalah sedekah. Dan semua itu cukup (bersedekah kepada semua sendi itu) dengan dua rakaat yang telah didirikan oleh seseorang itu daripada solat Dhuha.”
[Riwayat Muslim (720)]

BACA:  Cara Mencuci Kemaluan Dengan Betul

Pasti ramai yang maklum tentang kelebihan solat sunat dhuha ini. Solat itu sendiri adalah kerehatan. Dalamnya ada ketenangan kerana kita sedang mendekatkan diri kepada Tuhan.

#3 – Padam Peralatan Elektronik

Peralatan elektronik seperti telefon memang suatu keperluan. Tidak dapat tidak kita memerlukannya untuk berkomunikasi. Namun, terlalu tenggelam dalam teknologi juga suatu yang tidak sihat untuk minda.

Manusia mudah untuk hilang sabar apabila menggunakan kemudahan ini. Whatsapp yang lambat dibalas. Komen negatif di Facebook atau Twitter. Semuanya boleh mendatangkan tekanan. Ambillah masa untuk menjauhkan diri anda dari telefon sekurang-kurangnya dua hingga tiga jam dalam sehari. Gunakan masa rehat tersebut untuk bersenam atau membaca buku.

#4 – Fokus

Antara sebab mengapa kita kadang-kadang sukar untuk bertenang adalah kerana kita fokus kepada banyak perkara dalam satu masa. Sesetengah orang cenderung untuk mengamalkan kerja multi-tasking.

Jika kerja tersebut adalah suatu yang ringan dan tidak memerlukan perhatian yang mendalam seperti membasuh pinggan dan memasak, maka itu bukan suatu masalah. Tetapi jika kerja yang dilakukan menuntut fokus dan perhatian, maka anda akan mudah tertekan. Belajar untuk fokus satu perkara dalam satu masa, pasti roduktiviti anda juga mampu ditingkatkan!

Tekanan dan masalah sememangnya suatu yang tidak dapat dielakkan dalam kehidupan seharian. Solusinya, cubalah kenali dan fahami keperluan diri anda sendiri; apa tanda-tanda yang ditunjukkan oleh badan anda apabila ia memerlukan kerehatan. Badan anda juga mempunyai hak untuk dipenuhi.

 

Sumber: Tazkirah.net 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

error: Content is protected !!