Nasihat, Tazkirah

4 Adab Menziarahi Orang Sakit Yang Perlu Kita Ketahui

Sihat dan sakit kita di atas dunia ini ialah satu ketentuan atau ujian dari Allah S.W.T dalam melengkapkan perjalanan hidup di muka bumi Allah ini.

Andai kita dianugerahkan kesihatan bersyukurlah atas nikmat ini. Andai kita diuji dengan kesakitan, sabar dan reda InsyaAllah ada perkara lain yang akan digantikan oleh Allah atas ujian ini.

Andainya ada sahabat kita diuji dengan kesakitan, ambillah kesempatan ini dengan mengunjungi mereka dan berbahagialah dengan Sabda Rasullah yang bermaksud;

‘‘ Tiada seorang pun yang menziarahi saudara seislamnya yang sakit pada waktu pagi melainkan 70 000 malaikat mendoakannya untuk mendapat rahmat hingga ke waktu petang. Sekiranya dia menziarahi saudara seislamnya pada waktu petang, maka 70 000 malaikat akan mendoakannya untuk mendapat rahmat Allah hingga ke waktu pagi. Dia juga akan mendapat nikmat berupa buah buahan syurga yang boleh dipetik bila bila masa’’
Riwayat Al- Tarmizi

Nabi Muhammad sangat menggalakkan umatnya menziarahi orang sakit kerana dengan kunjungan ini ianya akan menggembirakan hati pesakit. Malahan melalui ziarah ini juga kita akan belajar sesuatu daripada pengalaman ini.

Antara adab yang mesti dilakukan untuk memastikan pesakit selesa dengan kunjungan kita ialah;

#1- Memperbetulkan Niat

Perbetulkan dahulu niat untuk menziarahi seseorang kerana setiap amalan itu akan bermula dengan niat. Andainya niat betul maka ianya akan memperolehi ganjaran yang dijanjikan oleh Allah.

Niatlah lawatan itu kerana Allah dan Rasul semata mata. Niatlah dengan mencontohi peribadi Rasulullah. Jangan melawat seseorang itu kerana kita mempunyai kepentingan dengan orang tersebut.

#2- Memaniskan Wajah

Perkara ini sangat penting untuk direnungi. Sebelum melawat pesakit, pastikan wajah berada dalam keadaan yang manis. Kerana dengan melihat senyum pelawat itu, pesakit akan mendapat kekuatan dan ketenangan.

BACA:  Bahaya cinta nafsu

Satu senyuman mampu membuatkan beberapa orang tersenyum. Manakala seandainya beberapa orang tersenyum ianya akan membuatkan ratusan orang tersenyum. Jadi senyuman yang dihadiahkan itu akan membuatkan pesakit di hospital itu juga tersenyum dan bersemangat.

#3- Berbual Tentang Diri Pesakit

Dalam lawatan yang sering kita buat ini, jangan terlalu asyik bercerita tentang keadaan diri pelawat yang sihat sehinggakan pesakit itu hanya menjadi pendengar sahaja berbanding menjadi pencerita.

Gantilah dengan bertanyakan keadaan mereka. Biarkan mereka bercerita tentang diri mereka dan santuni mereka dengan sebaiknya. Kerana ianya mampu membuatkan mereka tersenyum gembira.

#4- Mendoakan Pesakit

Paling penting dalam lawatan itu ialah mengambil masa mendoakan mereka. Seeloknya –eloknya berdoa di tepi mereka supaya mereka mendengar doa yang dipohon dan boleh diaminkan oleh pesakit. Melalui doa yang dibaca itu mereka akan rasa disayangi dan dekat dengan kita.

Selain mendoakan mereka, mintalah mereka juga mendoakan kita yang kadang kala lalai dengan nikmat yang dipinjamkan oleh Allah ini. Hal ini kerana doa mereka cepat dikabulkan oleh Allah.

“Lima orang yang doanya dikabulkan dengan cepat: orang yang dizalimi sampai ia mendapatkan kemenangan atau pertolongan, orang yang melaksanakan haji hingga ia pulang, orang yang berperang sampai ia kembali ke kampung halamannya, orang yang sakit hingga sembuh, dan seseorang yang mendoakan saudaranya di kejauhan.”
Riwayat Baihaqi

Jadi, kesimpulannya, marilah sama sama muhasabah diri dan perbetulkanlah niat semua.

Semoga kita semua mampu meraih pahala dalam setiap perjalanan yang panjang ini. Sama-sama kita muhasabah diri. Semoga perjalanan kita dirahmati dan diredhai Allah.

 

Sumber: tazkirah.net 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *