Tazkirah

3 Sifat Bagi Meraih Kejayaan Di Dunia Dan Akhirat

Sesiapun kita, sudah pasti kita mengharapkan suatu hari kita akan meraih kejayaan. Kejayaan yang menggembirakan hati.

Tiada sesiapa yang tidak mengharapkan kejayaan dan andainya kita berjaya di dunia dan akhirat boleh dibaratkan kita menang hadiah berganda.

Jadi andai kita mahu berjaya di dunia dan akhirat. Apa yang mesti kita buat ?

Perkara pertama yang paling penting untuk dilakukan ialah sentiasa mempersiapkan diri dengan sifat yang terpuji. Antara sifat tunjang bagi untuk menempuh perjalanan menuju akhirat ialah :

#1 – Sabar

Sabar mudah diungkap, sabar juga senang ditulis, sabar ini juga terdiri daripada lima huruf iaitu huruf S A B A R.

Namun untuk memastikan sabar ini sentiasa berada dalam kalangan kita ianya tidak senang sebenarnya.

Sabar ini hanya orang yang betul-betul memahami hakikat hamba sahaja yang boleh menelan hakikat sabar ini.

Dan taatlah kepada Allah dan Rasul-Nya dan janganlah kamu berbantah-bantahan, yang menyebabkan kamu menjadi gentar dan hilang kekuatanmu dan bersabarlah. Sesungguhnya Allah beserta orang-orang yang sabar.
Surah Al Anfal : 46

Bersabarlah, Allah berserta dengan orang yang sabar. Indahnya ungkapan ini seakan salju yang meniup pergi semua kemarahan, kerisauan dan kerungsingan.

Apapun yang sedang menimpa kita wahai sahabat, janganlah rungsing, jangan gundah, jangan bersedih kerana Allah bersama kita. Allah sentiasa dekat dengan kita.

Nabi Allah, Muhammad SAW yang dikenali dengan kekasih Allah diuji sejak di dalam perut ibunya lagi iaitu apabila ayahanda tercinta dijemput Allah, kemudian ibunya, datuknya, bapa saudaranya, isterinya.

Allahurabbi, apalah sangat ujian kita berbanding ujian para Nabi wahai sahabat sekalian.

#2 – Pemurah

Sifat pemurah boleh dikaitkan dengan sifat tidak berkira. Kita sebagai manusia ini sentiasa berkira untuk berbuat baik.

BACA:  Bagaimana Wanita Boleh Bersedekah?...Baca Ini Dan Ketahuilah Cara Wanita Boleh Bersedekah

Mahu memberikan derma lebih sikit terus dalam kepala datang angka untuk mengira untung rugi. Mahu membantu orang pun kita berfikir dulu mencongak apa kelebihan yang kita akan dapat bila membantu seseorang.

Sementara kita masih menghuni dunia ini marilah sama sama kita bersikap pemurah dengan semua orang kerana pesan Baginda Rasul, Rasulullah S.A.W berkata;

“Sungguh seseorang bersedekah pada waktu hidupnya dengan satu dirham adalah lebih baik baginya daripada ia bersedekah dengan seratus dirham ketika akan meninggal.”
Hadith Abu Daud

Selepas ini, kita luaskan skop sikap pemurah kita ini. Pemurah ini tidak terbatas dengan duit sahaja, kita boleh memilih untuk menjadi pemurah dengan senyuman dan dengan tenaga yang Allah pinjamkan ini,

#3 – Tidak Berputus Asa

Sifat tidak berputus asa perlu ada dalam diri kita kerana andainya kita berputus asa dengan setiap ujian yang diberikan oleh Allah maksudnya kita sudah berputus harapan dengan Allah.

Kenapa kita berputus harapan dengan Allah? Sedangkan Allah itu Maha Penyayang. Setiap apa yang diberikan oleh Allah itu ada hikmahnya.

Mungkin bukan sekarang tetapi suatu hari nanti kita akan dapat apa yang kita hajati. Berdoa dan terus berdoa kerana doa itu senjata kita di dunia ini.

Jadi, ayuh kita berama menjadi orang yang sabar. Sabar dalam melakukan kebaikan, sabar dalam melakukan ibadat dan kebajikan.

Andainya sabar menipis di dada ingat pesan Allah, yang Allah bersama dengan orang yang sabar. Kalau itu janji Allah apa lagi yang mesti kita risaukan.

Ingat, selain sabar kita juga mesti praktikan sifat pemurah dan tidak berputus asa juga untuk membolehkan kita berjaya di dunia dan akhirat.

BACA:  Pemimpin Islam Harus Menghormati Hak Bersuara Rakyat Jelata

Ayuh bermuhasabah. Semoga kita mendapat kejayaan di dunia dan akhirat.

P/s : Artikel ini ditulis berdasarkan penulisan Hj Mohammad Zakaria dalam majalah solusi isu 6 dalam ruangan potensi.

 

Sumber: Tazkirah.net 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *