Keluarga, Nasihat

3 Cara Menenangkan Hati Anak

Ya, semestinya ibu bapa gusar apabila melihat anak-anak sendiri meragam. Dari umur 3 tahun sehinggalah 12 tahun.

Ada kala mereka mahu ibu bapa ikut karenah mereka. Jika tidak ikut, mereka tidak tenang dan secara tidak langsung membuatkan hati ibu bapa pun tidak tenang.

Jadi, ikuti tiga cara ini berdasarkan pengalaman dan bacaan saya. Semoga memberi manfaat kepada semua pembaca;

#1 -Berikan Kata Dua Kepada Mereka

Jika di tadika, saya selalu guna teknik ini. Kanak-kanak akan terperangkap dengan kata-kata saya. Contoh situasi di bilik air.

‘’Amri kenapa tak nak makan?’’

‘’Tak sedap.’’

‘’Amri nak abah suapkan ke, nak amri makan sendiri.’’

Contoh situasi lain;

‘’Amri solat dahulu, waktu dah masuk.’’

‘’Nantilah.’’

‘’Amri leka dengan seronok bermain dan terus terlepas waktu solat atau Amri solat dahulu dan tak terlepas pun waktu solat.’’

Berikan masa mereka berfikir dan terus dapat memikat hati si anak. Mudah dan mereka pun suka dengan kata-kata kita.

Walaupun teknik ini saya selalu gunakan, tetapi tidak semua pelajar berkesan. Ada yang menjadi dan ada yang tidak menjadi. Bergantung juga kepada kanak-kanak itu sendiri.

#2 – Anak Berkata Ibu Bapa Mendengar

Dalam buku Say It Right karya Puan Rosmaria Mohd Sahat ada menyatakan 4 seni mengurus emosi kanak-kanak;
#1- Apabila mereka bercerita, mendengarlah penuh perhatian.
#2- Ambil maklum dengan “Ohh…Hmm…”
#3- Namakan perasaan tanda empati
#4- Mengalihkan perhatian

Di sekolah, anak-anak akan mengalami bermacam-macam perasaan. Ada gembira, sedih, kecewa dan pelbagai perasaan.

Kerana itu, mereka mahu bercerita atau meluahkan perasaaan, dan semestinya perasaan itu diluahkan kepada ibu mahupun bapa.

BACA:  Tiada jalan pintas untuk mendidik anak-anak

Tugas ibu bapa dengar dengan penuh perhatian, agar anak-anak ini tidak tersinggung. Walaupun ketika itu kita tengah tonton rancangan TV.

‘’Abah, tengok Nisah tu, selalu ganggu adik di sekolah.’’

‘’Cikgu selalu puji kawan, tak puji pun abang.’’

‘’Ibu nak mainan itu.’’

Contoh situasi satu , kita sebagai ibu bapa perlu ubah ke arah positif agar anak-anak tidak terus rasa lemah untuk belajar di sekolah;

‘’Oh, Nisah ganggu adik, dia nak kawan dengan adik tu. Adik ajaklah Nisah buat kerja sama-sama.’’

Tunjukkan rasa simpati dengan diri sendiri, agar ia boleh jadi tauladan kepada mereka. Secara tidak langsung, ini boleh memberi lebih kepercayaan kepada ayah dan ibunya. Contoh situasinya;

‘’Cikgu selalu puji kawan, tak mengapalah abang. Ayah dahulu pun macam itu, tapi apa yang ayah buat, ayah jadikan itu semangat untuk terus maju. Walaupun tak dapat pujian, tapi ayah semakin hari semakin bagus. Allah suka orang yang semakin hari semakin ada perubahan ke arah kebaikan.’’

Situasi ketiga, mengalihkan perhatian;

‘’Imran nak main itu ya, ibu pun suka, tapi ayah tak tinggalkan duit dekat ibu. Nanti balik rumah ibu cuba minta daripada ayah.’’

Ada kalanya hanya dengan memahami betapa kuatnya keinginan anak-anak terhadap sesuatu menjadikan mereka lebih mudah faham.

#3 – Doakan Mereka Menjadi Anak yang Dengar Kata

Semua kita sedia maklum, doa adalah senjata orang mukmin. Allah berfirman;

‘’Dan apabila hamba-hambaku bertanya kepadamu tentang aku, maka (beritahu keapda mereka), sesungguhnya aku (Allah) sentiasa hampir kepada mereka, aku perkenankan permohonan orang yang berdoa apabila ia berdoa kepadaKu. Hendaklah mereka itu memenuhi perintahKu dan beriman kepadaKu, agar memperoleh kebenaran.’’
Surah Al-Baqarah:186

BACA:  Dadah : Setelah Rebah, Bangkit Kembali

Jika selalu berdoa sendirian, cuba tukar cara berdoa bersama anak-anak. Lepas sahaja solat berjemaah atau di mana-mana, doa dengan sepenuh hati dalam bahasa mereka tahu.

Apabila mereka dengar, moga mereka dapat manfaat daripada doa itu.

Sebelum ini, mungkin mereka agak nakal. Selepas dengar doa dengan sepenuh hati daripada bapanya, InsyaAllah mereka kurang buat perangai.

Antara doa-doa yang kita boleh amalkan;

‘’Wahai Tuhanku! Kurniakanlah kepadaku anak-anak yang termasuk orang-orang yang soleh.’’
Surah As-Saafat:100

‘’Wahai Tuhanku! Kurniakanlah kepadaku dari sisiMu zuriat keturunan yang baik, sesungguhnya Engkau sentiasa Maha Mendengar doa permohonan.’’
Surah Al-Imran:38

‘’Wahai Tuhan kami, berilah kepada kami pasangan kami dan keturunan kami sebagai penyenang hati kami, dan jadikanlah kami pemimpin bagi orang-orang yang bertaqwa.”

Namun, jika setakat doa tanpa ibu bapa sendiri libatkan diri sendiri mendidik anak, ia nampak lompong di situ, maka lompong itu perlu diisi dengan aktiviti bersama-sama mereka. Baru nampak kemas.

Kesimpulanya, anak-anak adalah anugerah daripada Allah;

Dan orang-orang beriman, berserta anak cucu mereka yang mengikuti mereka dalam keimanan, Kami pertemukan mereka dengan anak cucu mereka di dalam syurga dan Kami tidak mengurangi sedikit pun pahala amal kebajikan mereka. Setiap orang terikat dengan apayang dikejakanya.
Surah At-Thur:21

Anak-anak juga boleh jadi aset ketika ibu bapanya sudah meninggal dunia, maka didiklah mereka daripada usia kanak-kanak untuk kenal Allah. Dari Abu Hurairah berkata, Rasulullah S.A.W bersabda;

‘’Jika manusia meninggal, maka terputuslah amalanya, kecuali tiga amalan. Sedekah jariahnya, ilmu yang bermanfaat dan doa anak yang soleh kepada ibu bapanya.’’

Nampak, walaupun ibu bapa sudahpun meninggal dunia, doa anak-anak soleh boleh jadi pemangkin kepada kita. Wallahu a’lam.

BACA:  Belajar Untuk Berehat, Bukan Berhenti

Sumber:
Radio KL FM bersama Hafiz Bai, Buku Say It Right karya Puan Rosmarian Mohd Sahat, almanhaj.or. id(Bab Buah hati, Antara Perhiasan dan Ujian Keimanan), dan muslim.or.id.(Bab Doa Senjata Orang Muslim).

 

Kredit: Tazkirah.net 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *