Ibadah, Tazkirah

13 Tips ‘Ketuk-Ketuk Pintu Rezeki’

Rezeki bukan daripada pangkat, bos, wang ringgit mahupun gaji. Tapi ianya datang daripada Allah S.W.T. Mahu pintu rezeki kita terbuka luas? Ayuh, amalkan tips-tips ini;

#1- Tidak Tidur Selepas Solat Subuh

Meskipun tiada nas yang menghalang untuk tidur selepas subuh, kita digalakkan untuk melakukan amalan yang berfaedah selepas subuh. Contohnya, mengulangkaji pelajaran, beriadah dan bekerja demi mencari rezeki.

Maka, disebabkan usaha padu kita yang melakukan perkara berfaedah tersebut pasti dapat mengundang rezeki.

Namun, sekali lagi ingin ditegaskan di sini, cuba elakkan diri kita dari tidur selepas subuh.

Hal ini kerana, Ibnu Qayyim pernah mengatakan bahawa tidur selepas subuh boleh mematikan hati. Ianya juga membuatkan badan menjadi malas dan juga mensia-siakan waktu yang berharga.

#2- Menanam Pokok

Hal ini nampak renyah tetapi hasilnya di kemudian hari akan menghilangkan segala resah. Dengan izin Allah S.W.T, kita dapat memperoleh manfaat daripada penanaman pokok.

Disebabkan pokok atau segala jenis tumbuhan, semua makhluk dapat menghirup udara yang segar iaitu oksigen.

Menanam pokok atau tumbuh-tumbuhan bukan sahaja dapat menghasilkan oksigen dan menenangkan pemandangan, malahan, ianya dapat membantu mereka yang memerlukan makanan. Contohnya haiwan yang memakan tumbuhan.

Dari Anas bin Malik R.A., Rasulullah S.A.W pernah bersabda:

“Apabila seseorang Muslim menanam tanaman, kemudian burung ataupun manusia memakannya, hal itu menjadi sedekah untuknya.”
Riwayat Bukhari

#3- Berbuat Baik Kepada Ibu Bapa

Berkat doa dan restu daripada ibu bapa bakal melipat gandakan rezeki kita. Kita sememangnya perlu membahagiakan ibu dan bapa.

Kita boleh menggembirakan mereka dengan beberapa amalan seperti ini;

#1- Berkata-kata dengan sopan dan lemah lembut
#2- Mendengar arahan ibu bapa
#3- Melaksanakan permintaan ibu bapa
#4- Menjaga mereka berdua
#5- Memberikan hadiah
#6- Mendoakan ibu bapa

#4- Memberikan Makanan Kepada Yang Memerlukan

Makanan merupakan nikmat Tuhan yang terindah dalam kehidupan. Siapa sahaja yang tidak suka pada makanan?

BACA:  Mudahnya Seorang Wanita Itu Masuk Ke Syurga

Sesungguhnya, makanan amat penting dalam kehidupan untuk kita terus bertenaga dalam beribadah kepada Allah S.W.T.

Namun adakah kita sedar bahawa memberikan makanan juga mampu menjemput rezeki? Memberi makanan juga termasuk dalam amalan bersedekah yang boleh menambah rezeki.

Makanan yang kita miliki boleh dikongsikan dengan haiwan mahupun manusia yang memerlukan makanan ketika itu.

Abu Syeikh meriwayatkan hadis Ibnu Umar yang melaporkan, Nabi Muhammad S.A.W bersabda;

“Amalan yang paling disukai oleh Allah Azza wa Jalla adalah kebahagiaan yang kamu hadirkan dalam (diri) seorang Muslim, ataupun kamu menyingkap kesulitannya ataupun kamu mengusir laparnya ataupun kamu melunaskan hutangnya.”

#5- Berkongsi Ilmu

Kita tidak akan pernah rugi apabila kita berkongsi apa-apa yang kita ada dengan orang lain. Tambah pula, hal yang berkenaan dengan ilmu pengetahuan. Menurut Irfan Khairi iaitu seorang jutawan pernah mengatakan;

“Jangan takut untuk berkongsi ilmu (mungkin sebab takut pesaing akan meniru anda). Ini adalah kerana, dengan berbuat demikian, ia akan menyempitkan lagi ilmu yang dimiliki dan membantutkan perkembangan ilmu tersebut untuk mencapai lebih kejayaan!”

Ibnu Majah pula meriwayatkan hadis daripada Sahl bin Mu’adz bin Anas daripada bapanya melaporkan bahawa Rasulullah S.A.W pernah bersabda;

“Sesiapa yang mengajarkan satu ilmu, dia turut mendapat pahala orang yang mengamalkan ilmu itu tanpa mengurangi sedikit pun pahala orang itu.”

#6- Memperbaiki Solat 5 Waktu

Allah S.W.T amat menyayangi hambaNya yang sentiasa mengingatiNya. Allah S.W.T menjanjikan pertolongan buat para hambaNya yang sentiasa menunaikan solat, bersabar dengan segala ujianNya dan sentiasa mengingatiNya walaupun dalam keadaan susah mahupun senang.

Oleh sebab itu, kita patut memperbaiki solat kita kerana itulah perkara yang paling utama dalam kehidupan setiap Muslim.

Tambah pula, kita boleh ke masjid untuk solat secara berjemaah dan InsyaaAllah segala urusan kita akan dipermudahkan.

Semua orang pastinya mahu berjaya, murah rezeki bukan? Ingatlah bahawa Hayya ‘alal Solah mendahului Hayya ‘alal Falah. Mari menuju solat, mari menuju kejayaan. Maka, kejayaan itu bakal datang saat kita menunaikan solat.

BACA:  Adab dalam memuji nabi Muhammad s.a.w

#7- Bangun Solat Tahajud Tiap Sepertiga Malam

Ada sesiapa yang tidak mengenali Dato Vida? Kunci kejayaan beliau yang dikongsikan ialah berkenaan dengan solat sunat.

“Amalan ini saya buat dari kecil selain bangun malam untuk menunaikan solat sunat dan berdoa malah saya sentiasa berusaha untuk tidak mengabaikan kewajipan ini agar tidak lalai dan terleka.”
Dato’ Seri Vida; Sumber: Harian Metro

Dalam sebuah hadis juga ada menyebut tentang solat malam;

Riwayat Khuzaimah dan Tirmizi

#8- Solat Dhuha Pada Setiap Pagi

Solat sunat Dhuha bukan sekadar murah rezeki. Sebenarnya begitu banyak fadilat solat Dhuha yang dijelaskan Rasulullah S.A.W melalui sabda baginda. Abu Zar R.A melaporkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda;

“Setiap sendi seorang daripada kamu adalah sedekah, setiap tasbih adalah sedekah, setiap tahmid adalah sedekah, setiap tahlil adalah sedekah, setiap takbir adalah sedekah dan amar makruf nahi munkar juga adalah sedekah. Cukupkanlah semua itu dengan dua rakaat yang dilakukan pada waktu Dhuha.”
Riwayat Muslim

#9- Sentiasa Senyum

Sekuntum senyuman juga merupakan sedekah yang paling mudah. Sesungguhnya, dengan senyuman kita terhadap orang lain akan menenangkan kita.

Bukan sahaja memberikan impak positif pada diri tetapi juga mampu menceriakan hari-hari orang lain. Jika terasa berat sekali untuk senyum, janganlah pula bermuka masam dan sinis terhadap orang lain.

Sekadar mempamerkan muka yang tenang apabila dipandang sudah dikira kebaikan. Rasulullah S.A.W pernah bersabda;

“Janganlah engkau meremehkan kebaikan sekecil apapun, walaupun itu berupa cerahnya wajahmu terhadap saudaramu.”
Riwayat Muslim

#10- Menjalin Silaturahim

Silaturahim boleh dibahagikan kepada dua jenis iaitu umum buat semua manusia dan khas buat keluarga. Silaturahim yang umum berkaitan dengan orang-orang awam. Hal ini termasuklah seperti nasihat-menasihati.

Hubungan dengan keluarga pula akan menyebabkan berlakunya saling ziarah-menziarahi, saling mendoakan dan saling menasihati.

Terdapat banyak hadis yang menyebut tentang rezeki dapat diperoleh melalui silaturahim. Antara hadis tersebut ialah;

BACA:  Balasan Syurga Untuk Mukmin Yang Menjawab Azan

“Pelajarilah keturunan kamu supaya dapat menjalin silaturahim antara kamu, kerana silaturahim menyebabkan timbulnya kasih sayang dalam keluarga, menambahkan kekayaan dan memanjangkan umur.”
Riwayat Abu Hurairah

#11- Usaha Dan Tawakkal

Usaha merupakan faktor terpenting jika kita ingin mencapai sesuatu. Tawakkal juga sama dan sikap ini menandakan penyerahan diri sepenuhnya kepada Allah S.W.T setelah menjalankan tindakan yang wajar.

Antara bukti tawakkal memurahkan rezeki boleh dilihat melalui sebuah hadis. Menurut Umar bin al-Khattab, beliau meriwayatkan bahawa Rasulullah bersabda:

“Jika kamu bertawakal kepada Allah dengan sebenar-benarnya, nescaya kamu akan dikurniakan rezeki sebagaimana dikurniakan kepada sang burung yang keluar dari sarangnya pada waktu pagi, dalam keadaan kempis perutnya dan pulang pula dalam keadaan kenyang pada waktu petang.”

#12- Selalu Memaafkan

Sikap memaafkan adalah sesuatu yang mulia. Memberikan kemaafan bukan tanda kelemahan kita tetapi cukup menggambarkan betapa kukuhnya iman.

Di samping itu, kita tidak akan tahu bahawa orang yang kita maafkan itu terletaknya kelimpahan rezeki kita. Disebabkan tiada rasa dendam dan permusuhan, InsyaaAllah rezeki akan mudah datang. Allah S.W.T berfirman yang bermaksud;

“Dalam pada itu (ingatlah), orang yang bersabar dan memaafkan, sesungguhnya yang demikian itu termasuk perbuatan yang mulia.”
Surah al-Syura 42: 43

#13- Pembersih

Ramai orang yang mengambil mudah tentang kebersihan. Jadi, apa kaitannya bersih dengan rezeki? Sekiranya dalam Islam, bersih itu dilihat daripada dua sudut iaitu dari segi jasmani dan rohani.

Kebersihan jasmani dan rohani perlu seiring. Orang lain tentu akan berasa senang dengan kita apabila kita bersih dan kemas. Oleh sebab orang sekeliling selesa dengan kita, Allah S.W.T akan suka terhadap kita dan InsyaaAllah pintu rezeki akan terbuka.

Pada waktu yang sama, kebersihan rohani perlu dititikberatkan. Memiliki hati yang bersih, tidak bercakap kata-kata yang kotor juga boleh mengundang rezeki.

 

Sumber: Tazkirah.net 

Berminat menulis berkaitan Islam? Hantarkan artikel anda di sini: www.islamituindah.my/hantar-artikel

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *