Motivasi

11 Tips Membina Keyakinan Diri Dalam Pengucapan Awam

Pengucapan awam ini kadangkala menjadi satu ‘fobia’ kepada sesetengah orang.

Rasa tidak mahu bercakap di hadapan orang ramai, namun dek kehendak tugas atau pengajian misalnya, terpaksa juga menempuhinya.

Benar, walaupun lebih 10 tahun melakukan kerja-kerja pengucapan awam ini (ceramah, ucapan, taklimat, bimbingan, fasilitator dan lain-lain), rasa gementar itu tetap ada.

Apatah lagi kalau seseorang itu memang tidak gemar serta tiada latihan formal dalam bidang ini.

Berbekal sedikit pengalaman tersebut, di sini ingin saya berkongsi dengan para pembaca tip-tip yang boleh diamalkan untuk menjadi penyampai atau penceramah yang baik.

#1 – Mengkaji 200%

Bukan 100%, tetapi 200%. Maksud saya, sebelum kita menyampaikan sesuatu tajuk, buat kajian mendalam tentang tajuk itu serta perkara-perkara lain yang berkait dengannya.

Misalnya, kita hendak menyampaikan ceramah tentang kemahiran keibubapaan. Usah kaji tentang teknik-teknik mendidik anak sahaja.

Kaji dan baca juga tentang kes-kes melibatkan remaja masa kini, isu-isu pendidikan, pengurusan rumahtangga, dan sebagainya. Namun, apabila bercakap mengenainya, usah lari jauh daripada tajuk yang difokuskan.

#2 – Berkatalah Dari Hati

Mengetahui saja tidak cukup. Kita perlu benar-benar yakin dan menghayati topik yang akan diperkatakan.

Sebagai contoh, tajuknya jatidiri remaja, kita seharusnya bercakap perkara-perkara yang memang kita lakukan atau sedang cuba amalkannya, untuk menjadi seorang remaja yang baik.

Perlu diingatkan agar tidak berkata sesuatu yang hati kita tidak setuju atau tidak yakin. Keyakinan ini akan terzahir pada ucapan kita lantas ianya akan bertapak dalam hati dan minda orang lain.

#3 – Persiapan Awal

Pastikan segala persiapan dari sekecil-kecil hal sampai yang besar-besar, sudah selesai. Jika perlu, buat senarai semaknya.

BACA:  7 Langkah Terbaik Mengawal Emosi Anda Ketika Marah

Misalnya, tidur awal, sarapan pagi, baju yang sesuai, tanda nama, beg dan buku nota, kasut, kenderaan, laluan ke lokasi, dan lain-lain lagi.

Satu hal yang kecil memberi kadangkala memberi impak besar. Tertinggal pen pun boleh buat kita menggelabah. Perlu sampai awal selewat-lewatnya setengah jam daripada jadual.

Kalau perlu, bermalam sahaja jika lokasinya amat jauh. Perkara paling utama untuk disiapkan adalah isi-isi ceramah kita itu.

Usah bergantung pada ‘softcopy’ seperti slaid di komputer riba. Cetak atau catat pada nota dan dibawa sekali. Jika komputer bermasalah, kita masih ada bahan rujukan.

#4 – Rajin Membaca

Sekiranya kita rajin membaca, pengucapan awam kita menjadi lebih baik. Pertama, ia memperluas ilmu dan maklumat yang boleh diselitkan dalam ceramah.

Kedua, ia meningkatkan kelancaran idea serta ayat-ayat yang kita akan ungkapkan, kerana minda kita terbiasa dengan bentuk bahasa serta ayat dalam buku yang dibaca.

Bacalah apa jua jenis buku, namun buku-buku yang mengupas al-Quran dan hadis jangan dikesampingkan.

#5 – Muqaddimah Yang Membina Keyakinan

Memulakan pengucapan dengan mengalu-alukan tetamu istimewa, urusetia dan pendengar memang satu keperluan. Ia perlu diatur dengan kemas, betul dari segi protokolnya di samping dihiasi selawat serta salam.

Usah lupa berdoa memohon agar percakapan kita lancar (Surah Thoha : 25-28). Sedikit humor atau usikan kepada audien, yang membuat mereka tersenyum atau ketawa, akan menghilangkan gementar.

Serentak dengan itu, kita jadi lebih yakin untuk meneruskan ucapan.

#6 – Menulis Melancarkan Pengucapan Awam

Rajinkan diri menulis dengan betul. Hari ini kita ada facebook dan media sosial yang lain untuk melatih diri menulis.

Menulis dengan baik, ejaan yang penuh, mematuhi tatabahasa, serta kemas struktur ayatnya. Sepertimana membaca, menulis juga memantapkan lagi pengucapan awam kita.

BACA:  Profesor Masuk Islam Karena Keajaiban al-Quran

Lihat bagaimana (contohnya) YB Khairy Jamaludin, Dr. Mohd Asri Zainal Abidin atau Tuan Norizan Sharif (Nobisha) menulis di media sosial. Penulisan mereka amat baik, sebagaimana mantapnya mereka berucap di khalayak.

#7 – Mengkaji Audien

Ini pun sangat penting. Kaji pekerjaan, status sosial, hobi dan minat audien kita untuk sesuaikan ucapan kita dengan diri mereka.

Berdepan dengan ‘orang-orang besar’, kita kena banyak memuji dan menyebut nama mereka untuk membelai ego.

Humor untuk remaja jangan disuakan kepada orang-orang tua. Bercakap dengan orang kampung, jangan gunakan istilah yang canggih-canggih seperti;

“Tranformasi intelektual untuk menempuh alaf yang penuh tribulasi”

#8 – Slide Powerpoint Yang Power

Slide powerpoint harus memaparkan isi penting secara ringkas dan padat. Jadikan slide powerpoint sebagai penguat ceramah dengan memasukkan video atau pun gambar (multimedia).

Jangan sampai kita menjadi ‘pembaca’ atau ‘bercakap’ dengan powerpoint. Slidenya juga tidak harus terlalu banyak atau terlalu terperinci.

Pastikan juga reka bentuk slide itu nampak kemas (tidak terlalu cantik tidak mengapa) dan boleh dibaca oleh audien.

#9 – Berterusan

Untuk menjadikan kita yakin apabila berucap di khalayak, latihan berterusan memang memberi kesan. Benarlah, ‘practice makes perfect’.

Ambil peluang jika ada tugasan sebagai pengacara, pembentang, hatta pembaca doa sekalipun.

Pernah dalam tempoh beberapa bulan, saya tidak terlibat dalam kerja-kerja pengucapan awam dan apabila kembali berada di khalayak, rasa janggal itu ketara dan penyampaian saya agak kurang lancar.

#10 – Konsep 2 hala

Ketika berceramah atau berucap, biasakan untuk sekali-sekala bertanya atau berbual-bual dengan audien. Mereka akan rasa dihargai, kembali fokus dan kita menjadi lebih yakin.

Usah hanya bercakap terus terusan tanpa berinteraksi dengan pendengar. Selain itu kita juga perlu peka dengan keadaan pendengar di hadapan kita.

BACA:  8 Sifat Negatif Wajib Dibuang Untuk Berjaya

Misalnya jika mereka nampak sudah menguap, selitkan cerita yang menarik atau aktiviti fizikal. Pelbagaikan bentuk dan isi ceramah.

#11 – Mencontohi Rasulullah

Kalau kita merujuk kepada sirah dan hadis, Nabi SAW memperagakan teknik komunikasi yang paling berkualiti. Antaranya;

#1- Berbicara ketika perlu

#2- Bicaranya fasih, ringkas tetapi padat

#3- Menghadapkan seluruh tubuhnya jika berbicara dengan seseorang

#4- Tidak memotong percakapan orang lain.

#5- Tidak pernah berkata kotor, berbuat keji dan melampaui batas.

Komunikasi yang ditunjukkan oleh Baginda tentunya model terulung untuk dicontohi oleh kita apabila berhubung dengan orang lain.

Sekiranya ini mampu kita lakukan, sudah tentu kesan ucapan kita itu adalah suatu ‘hasanah’ – kebaikan. Ia akan sampai ke hati dan akhirnya berbuah menjadi amalan.

Pahalanya akan tetap mengalir akaun pahala meskipun jasad kita telah bersemadi di pusara.

Mudah-mudahan sedikit panduan ini dapat membantu kita menjadi penyampai yang lebih baik di khalayak.

Selamat tampil ke hadapan dengan lebih yakin!

 

Sumber: Tazkirah.net 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

error: Content is protected !!