General

10 Tip Memilih Kurma Ajwa Terbaik Apabila Ke Tanah Haram

Setiap kali masuk musim Ramadan, pasti kita akan mendengar suara iklan di kaca televisyen mahupun di corong radio yang mengiklankan jenama kurma mereka.

Dahulu, kurma dimakan secara bermusim iaitu apabila tiba bulan Ramadan. Tetapi kini buah kurma dimakan secara harian bagi mendapatkan khasiatnya yang tersendiri. Apatah lagi buah kurma kini semakin mudah dan murah didapati di pasaran tempatan.

Bagi jemaah umrah dan haji, lazimnya apabila tiba di Madinah, mereka pasti akan mendapatkan kurma Ajwa sebagai bekalan dibawa pulang.

Hal ini disebabkan mereka berpegang kepada sabda Nabi yang menyatakan bahawa, kurma Ajwa mempunyai khasiat yang luar biasa, antaranya dapat menyembuhkan racun dan sihir jika dimakan pada setiap pagi sebanyak 7 butir.

Keistimewaan inilah yang menjadikan kurma Ajwa sentiasa dicari orang dan selalunya ada di rumah orang mukmin, berbanding kurma lain.

Namun, cuba kita bayangkan sekiranya kita sudah pulang ke tanah air, tentu kita akan kecewa apabila kurma yang kita beli itu berulat dan berhabuk, berbau masam atau hapak dan keras apabila dimakan.

Tentu kita tidak mahu hal itu berlaku kepada kita, bukan? Jadi 10 tips di bawah adalah panduan bagaimana memilih kurma Ajwa yang baik.

#1- Beli Kurma Di Madinah Atau Di Makkah?

Kurma-kurma semuanya berasal dari Madinah dan negara Arab sekitar. Sekiranya anda bercadang membeli lebih banyak pada harga lebih murah, lebih baik membeli kurma di Madinah kerana di sana lebih murah dan lebih banyak pilihan berbanding di Makkah.

Tetapi tidak salah jika anda membeli di Madinah dan di Makkah. Belilah secara runcit. Jika jadual perjalanan anda adalah masuk ke Makkah dahulu, ada baiknya anda menangguhkan membeli kurma itu di Madinah, supaya mengurangkan beban membawa beg.

Sekiranya jadual perjalanan anda adalah masuk ke Madinah dahulu, belilah lebih banyak di Madinah berbanding di Makkah. Jika masih ada ruang tambahan barulah beli lagi di Makkah.

#2- Kurma Ajwa Mempunyai Banyak Gred

Kurma Ajwa mempunyai beberapa gred berdasarkan saiz dan tempat ditanam. Ajwa turut ditanam di negara Teluk lain selain yang berada di Madinah, berdasarkan Ensiklopedia Tanaman Kurma Negara Arab.

Di Madinah sendiri, tempat paling baik dan bagus kualiti kurmanya adalah yang ditanam di kawasan Aliyah atau Awali, iaitu di sebelah Tenggara bandar Madinah.

BACA:  Menolak Perlakuan LGBT Adalah Ajaran Al-Quran: Timbalan Mufti Perak

Kawasan ini dinamakan Aliyah bukanlah disebabkan oleh tingginya kualiti kurma, tetapi disebabkan Aliyah adalah sebuah kawasan berbukit. Secara relatifnya, harga kurma Aliyah lebih mahal berbanding kurma Tanah Haram yang biasa. Harganya boleh mencecah ke SR80 ke SR150 sekilo.

Sekiranya tidak mampu membeli Ajwa Aliyah, belilah Ajwa Tanah Haram. Maksud Ajwa Tanah Haram ialah, kurma ini ditanam di dalam sempadan Tanah Haram Madinah, yang mana harganya lebih murah berbanding harga Ajwa Aliyah.

Antara jenis Ajwa yang ditanam di dalam Tanah Haram Madinah ialah Ajwa Quba’, Ajwa Awali dan lain-lain.

Gred yang paling murah kurmanya selalunya bukanlah ditanam di Madinah. Kurma itu datang dari negara luar dan dijual bagi memenuhi keperluan jemaah umrah dan haji yang berjuta-juta saban tahun itu. Umpama buah strawberi di Cameron Highlands, bukan semuanya ditanam di sana, betul tak?

#3- Kurma Ajwa Gred Terbaik

Kurma Ajwa gred terbaik adalah kurma Ajwa Malaki, yang saiznya adalah lebih besar iaitu lebih kurang saiz ibu jari kaki orang dewasa. Kurma jenis ini adalah kurma yang terbaik dari ladang, dan kebiasaannya disimpan untuk dijamu kepada pembesar-pembesar negeri dan negara.

Jika dijual di pasaran biasa, kurma ini harganya tidak kurang daripada SR250, malah mungkin mencapai harga SR600 ke SR800 bergantung kepada kualiti dan saiznya. Kebiasaannya kurma gred ini dipakejing cantik dan dilihat premium.

#4- Musim Kurma Terbaik

Sebenarnya, waktu terbaik membeli kurma Ajwa adalah sebaik sahaja selesai musim panas. Hal ini kerana pada musim panas, hasil tanaman kurma Ajwa dituai dan dipaketkan. Musim panas di Arab Saudi adalah sekitar bulan Jun hingga bulan Ogos.

Sebaik saja dipetik dan dibersihkan, kurma-kurma ini akan dibungkuskan dan dimasukkan ke dalam peti sejuk bagi memanjangkan lagi jangka hayat kurma ini.

Oleh itu, jika kita mahukan kurma yang masih segar dan baru, dapatkan stok kurma pada bulan September hingga akhir tahun. Buah yang lama selalunya berhabuk dan rapuh di dalam apabila dipisahkan isi dan bijinya. Sesetengahnya berkulat dan berulat.

Buah kurma Ajwa boleh bertahan dalam suhu bilik selama sebulan. Sekiranya lebih daripada itu, isinya akan dimakan ulat.

BACA:  Apa sebenarnya Freemasonry?...Bolehkah Fakta Ini Dipercayai?

Letakkan kurma Ajwa dalam bekas plastik dan simpan di dalam peti sejuk bagi membolehkan ia bertahan lebih lama.

#5- Buka Dan Rasa Tekstur Buah

Apabila membeli kurma Ajwa, jangan segan-segan untuk membuka dan merasa tekstur buah kurma itu. Jangan bimbang, penjual pasti akan mengatakan;

“Halal! Halal!”

Boleh rasa dan boleh makan. Ucaplah bismillah, dan bacalah doa. Cukup tujuh biji, kita sudah boleh mendapat fadilat terhindar daripada racun dan sihir. Cubalah!

Warna Ajwa hitam dan kadangkala kecoklatan sedikit. Ada urat-urat halus berwarna putih. Menurut tip saya perolehi daripada pekedai di Pasar Kurma berhampiran pintu 19, buah yang baik tidak terlalu banyak kedutan pada kulitnya.

Apabila dibuka, bijinya mudah dipisahkan daripada isi dan kulit. Rasanya juga tidak terlalu manis, dan ada rasa khas kurma Ajwa.

#6- Tekstur Tidak Terlalu Melekit

Kebiasaannya, buah kurma Ajwa yang baik kualitinya, buahnya lerai dan tidak melekit antara satu sama lain.

Sekiranya kulitnya terlalu melekit dan dan basah seperti ada cecair, hal itu sama ada disebabkan oleh beberapa perkara berikut antaranya ;

#1- Buah kurma terlalu padat dalam bekasnya sehingga menyebabkan buahnya penyek dan kandungannya keluar.

#2- Buah kurma itu dibasuh oleh peniaga dengan air panas bagi memberi gambaran buah itu masih cantik dan basah isinya.

#3- Buah sudah berada lama di dalam suhu bilik dan suhu panas.

#7- Saiz Tidak Terlalu Kecil Dan Tidak Terlalu Besar

Kurma Ajwa asli dari Madinah saiznya tidak terlalu besar. Kebiasaaanya saiz kurma Ajwa Madinah adalah seperti hujung ibu jari tangan orang dewasa.

Menurut penjual buah kurma di Pasar Kurma Madinah, buah yang terlalu besar selalunya bukan datang dari Madinah. Ia ditanam di negara lain. Manakala buah yang terlalu kecil pula menunjukkan penjagaan tanaman yang kurang baik.

Lagipun tanah Madinah adalah tanah yang subur untuk tanaman kurma meskipun sumber airnya agak terhad. Tanah Madinah adalah tanah bekas gunung berapi, kali terakhir meletus adalah pada sekitar abad ke-7 Masihi.

Pada waktu itu, cahaya gunung berapi yang marak meletus itu dapat dilihat terangnya sehingga ke negara-negara Syam sebelah utara.

#8- Lembut Dimakan Dan Tidak Liat

BACA:  Kelebihan Meninggal Dunia Di Negeri Madinah

Kurma Ajwa yang bagus isinya lembut dan mudah dimakan. Tidak liat jika mahu dipisahkan di antara isi dan bijinya.

Sesetengah peniaga mengatakan, jika buah kurma itu liat, maka biasanya ia baru dikeluarkan dari peti sejuk. Sekiranya kita mahu melembutkannya lagi, kita perlu membiarkannya dalam suhu bilik sehingga tempoh satu hari.

Tetapi kalau anda beli yang keras dan liat, kemudian anda cuba teknik di atas dan tidak menjadi, janganlah pula anda salahkan saya!

#9- Jangan Terpengaruh Dengan Harga Murah

Harga kurma Ajwa tertakluk kepada gred dan saiz buah serta pakejingnya. Jangan makan hati jika ada sahabat kita dapat beli pada harga yang jauh lebih murah. Jangan terpengaruh dengan harga murah, tapi terpengaruhlah dengan berkat yang kita akan perolehi.

Jangan berasa kecewa jika kurma yang kita perolehi lebih mahal sedikit. Tidak mengapa berbelanja lebih di Madinah.

Bukankah Nabi pernah mendoakan keberkatan dalam setiap cupak dan gantang perniagaan di Madinah? Malah Nabi mendoakan keberkatan Madinah ini dua kali ganda berbanding di Makkah.

Elakkan juga terlalu banyak tawar-menawar yang berlebihan kerana niat kita membeli adalah untuk membantu peniaga-peniaga di Madinah ini selain mendapat berkat memakan buah kesukaan Nabi ini.

#10- Beli Di Pasar Kurma Atau Di Ladang Kurma?

Soalan ini adalah soalan yang lazim ditanya oleh jemaah. Ia tidak ada jawapan tepat. Biasanya harga di pasar kurma lebih murah berbanding di ladang. Begitu juga dengan harga di kedai-kedai kurma sekitar Masjid Nabawi.

Stok kurma di ladang lebih cepat habis dan lebih laju larisnya berbanding stok di kedai kurma sekeliling. Normalnya, kurma di ladang lebih segar meskipun tidak semua kurma didatangkan dari ladang itu sendiri.

Kedai-kedai di Pasar Kurma yang lokasinya boleh diakses melalui pintu pagar nombor 6 pula, majoritinya kompetetif dari segi harga dan stok yang dijual juga baik rata-ratanya. Hal ini disebabkan oleh persaingan sihat yang ada di sana.

Stok di kedai kurma pula bergantung kepada kelarisan kedai itu. Pilih kedai yang selalu menjadi tumpuan kerana kedai yang kurang tumpuan biasanya mempunyai stok lama.

 

Sumber: tzkrh.com 

Loading...
Berminat menulis berkaitan Islam? Hantarkan artikel anda di sini: www.islamituindah.my/hantar-artikel

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *